Kes kanak-kanak yang terlibat dalam tingkah laku seksual yang aneh bukanlah perkara asing.
Lambakan bahan pornografi dalam bentuk video dan visual misalnya, menjadikan isu ini semakin membimbangkan, malah kewujudan aplikasi sosial yang menjadi bahan hiburan kanak-kanak ketika pandemik menguatkan lagi rasa ingin tahu mereka terhadap seksualiti diri.
Keadaan itu jika tidak dikawal berpotensi menjadikan anak-anak membesar dengan memiliki ketagihan seksual.
Menurut Exco Persatuan Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia, Dr. Noorul Amilin Harun (MyCAPS), tingkah laku seksual kanak-kanak bukanlah perkara luar biasa dan ia berlaku akibat sifat anak-anak yang mula mahu meneroka diri sendiri.
“Secara amnya, pengetahuan dan tingkah laku seksual kanak-kanak dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk usia, pemerhatian dan didikan yang diberikan,” katanya.
Jelas Dr. Amilin, kanak-kanak lazimnya mula meneroka diri sendiri ketika berusia antara lima hingga enam tahun.
“Kanak-kanak pada usia ini cenderung melakukan penerokaan dengan melakukan aksi-aksi seperti memegang kemaluan sendiri atau pun melihat orang lain menanggalkan pakaian.
“Kanak-kanak pada usia itu juga akan bertanyakan tentang fungsi anggota badan kepada orang lain kerana didorong oleh perasaan ingin tahu,” katanya.
Selepas memasuki usia persekolahan pula, perbuatan atau pertanyaan yang bersifat seksual ini akan kurang ketara kerana pada usia ini, mereka sudah mulai faham tentang norma sosial dan mula belajar untuk menyembunyikan tingkah laku tersebut.
Tingkah laku seksual akan mula dikategorikan sebagai membimbangkan sekiranya ia mengganggu atau melibatkan unsur paksaan ke atas individu lain biarpun ia berpadanan dengan umur kanak-kanak tersebut.
Namun, masih ramai ibu dan bapa yang menganggap tingkah laku seksual yang ‘sedikit’ aneh itu sebagai sesuatu yang biasa dan tidak dibicarakan.
Bercakap mengenainya juga mungkin dianggap sebagai sebagai satu taboo atau sesuatu yang memalukan.
Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan mendekati anak-anak untuk mewujudkan keselesaan kepada mereka untuk meluah sesuatu.
“Sekiranya ibu bapa melihat anak-anak melakukan tindakan seksual yang membimbangkan, cuba bertenang dan fahami apa yang sedang berlaku.
“Kemudian, tanya anak anda dari mana mereka mendapat idea itu. Elakkan daripada terus menghukum mereka dan jawab sebanyak mungkin persoalan seksual yang menjadi keraguan mereka,” katanya.
Jelasnya lagi, kebanyakan kanak-kanak mendapat maklumat seksual daripada media dan internet, bukan ibu bapa.
Oleh itu, ibu bapa perlu menggunakan peluang ini untuk menyampaikan informasi yang bersesuaian dengan umur dan tahap perkembangan kanak-kanak.