fbpx

Aiskrim batang penyambung rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aerma menunjukkan 20 perasa aiskrim Nostalgia Popsicle yang kini mampu dijual sebanyak 9,000 batang sebulan ketika ditemui di Gerai Kerajaan Pekan Chengkau, Rembau semalam.

REMBAU – Kehilangan punca pendapatan susulan perlaksana­an Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu sedikitpun tidak mematahkan semangat sepasang suami isteri dari Pekan Chengkau di sini untuk memasarkan perniagaan aiskrim batang dengan jenama Nostalgia Popsicle.

Aerma Noorsharina Rajab, 28, berkata, dia memulakan perniagaan itu pada tahun 2019, namun produk yang dihasilkan suami­nya, Mohd. Zulhazwan Sha’ari, 34, tidak dapat dipasarkan se­perti biasa di kedai.

Aerma Noorsharina yang me­rupakan usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata, dia kemudian menukar konsep jualan dengan tidak bergantung kepada premis di lokasi perlancongan dan sekolah.

“Kami buat sistem stokis dan agen pada penghujung tahun lalu. Alhamdulilah, kini kami mempunyai kira-kira lima stokis dan tujuh ejen aktif terdiri daripada suri rumah dan pelajar. Jualan 20 jenis aiskrim kami yang mempunyai pengesahan halal kini mampu dijual sebanyak 9,000 batang sebulan.

“Buat masa ini, kami sedang membuat kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi tujuan menghantar pesanan aiskrim secara pos kerana terdapat permintaan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak,” katanya ketika ditemui di Gerai Kerajaan Pekan Chengkau, di sini semalam.

Aerma Noorsharina berkata, jualan aiskrim batang berkenaan sebenarnya berasal dari idea projek keusahawanan di tahun akhir bersama empat lagi rakan ketika masih menuntut di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti pada tahun 2017.

“Rata-rata masih belajar dan ada datang dari latar belakang keluarga yang sederhana, jadi modal perlulah kecil. Saya syorkan aiskrim nostalgia ini dengan kutipan modal sebanyak RM50 seorang dan tidak sangka jualan kami ‘meletup’ di kolej serta di pantai Kuala Sungai Baru pada cuti hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, perasa aiskrim yang paling banyak mendapat sambutan ialah aiskrim ‘carrot susu’ dan ‘ais lemon tea’.

“Kini, perisa ‘strawberi krim keju’ paling mendapat sambutan di mana strawberi kami ambil dari Cameron Highlands. Kami juga perkenalkan perasa baharu iaitu bunga telang.

Menurutnya, aiskrim Nostalgia Popsicle boleh dibeli pada harga RM1.50 untuk 15 perasa dan RM2 bagi perasa premium seperti King yang mempunyai perasa vanilla dan kacang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI