PETALING JAYA – Pernah berdepan episod kemurungan kronik, Yonnyboii kini semakin mampu mengawal perasaan untuk sentiasa positif supaya tidak ditenggelami emosi semula.
Katanya, dalam situasi semasa global yang membuatkan ramai bergelut bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia perlu lebih kuat demi mencari rezeki untuk keluarga.
“Saya cuba mengimbangi hal fizikal dan mental sebaik mungkin. Ada ketika rasa lemah semangat itu datang menerpa tetapi saya cuba untuk tidak terlalu larut dengannya.
“Apabila mula rasa mahu patah semangat, macam-macam dalam fikiran muncul terutama ketika memikirkan tiada tawaran kerja. Bagaimana nak ‘survive’?
Namun saya percaya rezeki itu ada dengan izin-Nya. Saya pun menyara keluarga. Adik nombor dua tinggal dengan saya manakala tiga lagi adik bersama keluarga di kampung,” katanya.
Walau melalui kesukaran untuk bertahan, penyanyi rap, komposer dan penerbit muzik itu terus bangkit memikirkan perancangan mengukuhkan kerjaya muziknya.
Jauh di sudut hati, Yonnyboii atau nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, ingin merealisasikan impian muncul dengan sebuah konsert berskala besar.
Mengakui rindu mengadakan persembahan depan penonton secara langsung apatah lagi belum berpeluang mengadakan persembahan mega, namun perkara itu dirasakan belum dapat ditunaikan dalam keadaan negara yang masih melalui fasa menentang Covid-19.
“Kerinduan nak buat persembahan depan khayalak ramai hingga kini terus membuak-buak tapi semua itu masih samar dengan keadaan kes harian Covid-19 yang selalu turun naik.
“Jadi saya kini membiasakan untuk merapatkan diri dengan komuniti atau peminat muzik menerusi penghasilan kandungan kreatif dalam medium laman sosial.
“Saya kena anggap rakam persembahan di rumah atau secara virtual seperti membuat persembahan pentas. Begitu juga dengan impian mengadakan konsert yang belum menjadi kenyataan.
“Besar harapan saya agar keinginan itu direalisasikan. Malah saya membayangkan konsert penuh intim itu diiringi peminat yang sama-sama menyanyi setiap bait lirik lagu Yonnyboii,” katanya lagi.
Begitupun, dia tidak berpeluk tubuh, sebaliknya seakan mendapat suntikan semangat apabila album baharu yang diberi judul YONNY (DELUXE VERSION) muncul pada 8 Oktober ini.
Katanya, album tersebut menghimpunkan sembilan karya dari EP terdahulu selain dua lagu baharu sebagai trek bonus, Tak Sangka dan Angel sekali gus menganggap buah tangan istimewa itu dianggap sebagai terapi.
“Tak sangka sebenarnya dari album EP ke penuh ini, saya melancarkannya pada era pandemik. Bagi saya, bukan satu kesalahan mandatori, sebaliknya merasakan pada saat ini muzik kekal jadi terapi buat kita semua.
“Ramai yang terus mendengar muzik, selain menonton pelbagai medium hiburan dan saya sendiri tak kisah melawan arus kerana jika ada artis yang teragak-agak nak lancarkan album, kenapa tidak saya melakukannya.
“Saya selesa mencabar diri melawan kebiasaan. Selama ini pun saya sering dilihat unik dan. sekurang kurangnya saya ada kenangan melancarkan album pada waktu sebegini.
“Saya percaya penantian ini berbaloi. Tak perlu tergesa-gesa, andai tiba waktunya, pasti kesempatan itu menjelma tambahan pula sejak awal fasa di arena ini saya memang dambakan album penuh,” kongsinya.
Sementara itu, YONNY (DELUXE VERSION) mula didengarkan di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 8 Oktober 2021, pukul 12 tengah malam. – K! ONLINE