fbpx

Waspada dalam teruja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadan kawasan pelancongan yang kembali meriah di sekitar Pantai Chenang selepas pembukaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi baru-baru ini.
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

PADA ketika ini, mungkin ramai yang sudah berkira-kira untuk pulang ke kampung atau melancong ke destinasi menarik sebaik sahaja aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Masing-masing hanya menantikan pengumuman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung perkara itu sebaik sahaja kadar vaksinasi populasi dewasa dalam negara mencapai 90 peratus.

Bagi yang sudah lama tidak menemui ibu bapa, pasti arah tujuan mereka ialah pulang ke kampung untuk melepaskan rindu yang sekian lama terpendam.

Tidak kurang juga bagi mereka yang merancang untuk melancong bersama keluarga atau rakan bagi menikmati ‘kebebasan’ itu.

Namun begitu, ramai yang masih berhati-hati untuk membuat keputusan melancong dalam suasana pandemik ­Covid-19 dengan kadar jangkitan harian masih empat angka.

Salah satu pulau peranginan yang menjadi pilihan rakyat ialah Pulau Langkawi, Kedah yang dibuka semula sejak 16 September lalu.

Pada awal pembukaan pulau peranginan itu, orang ramai memberi pelbagai reaksi termasuk mengecam tindakan pelancong pulau itu sehingga menggelarkan mereka sebagai ‘tikus makmal’.

Namun, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk arahan mewajibkan semua pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum masuk ke pulau legenda itu memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berkunjung ke situ.

Pada hari pertama pembukaan Langkawi, seorang pelancong yang ditemui penulis teruja ke­rana akhirnya dapat bercuti.

Dia mengakui seronok dapat menjejakkan kaki ke Langkawi bersama empat anaknya.

Wanita itu juga menyatakan bahawa semua rakyat perlu menyesuaikan diri hidup dalam pandemik ini dengan pematuhan SOP ketat demi keselamatan semua.

Pelaksanaan gelembung pelancongan itu berjaya apabila merekodkan kemasukan 38,748 pelancong sehingga 30 September lalu berbanding sasaran awal kira-kira 30,000 pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, sektor pelancongan Langkawi dilihat kembali hidup selepas kerajaan mengumumkan pembukaannya sebagai destinasi rintis pelancongan domestik.

“Umumnya kita beranggapan bahawa projek rintis gelembung pelancongan Langkawi ini telah mencapai satu kejayaan yang boleh dibanggakan,” katanya.

Menurutnya, kemasukan pelancong itu telah menjana keuntungan pendapatan industri pelancongan Langkawi kira-kira RM15.97 juta.

“Jika jumlah tersebut dapat dikekalkan, tidak mustahil sasaran kerajaan untuk menerima kira-kira 400,000 pelancong tahun ini mampu dicapai,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainuddin Kadir berkata, pelaksanaan SOP ketat dan ujian pengesanan Co­vid-19 di semua pintu masuk ke Langkawi perlu terus dikekalkan.

“Walaupun kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri, SOP dan ujian Covid-19 itu perlu diteruskan bagi mengelak berlaku penularan wabak tersebut selain untuk meraih keyakinan pelancong untuk terus berkunjung ke pulau ini.

“Kita mahu Langkawi ini dijadikan contoh atau penanda aras dalam usaha menyediakan persekitaran pelancongan selamat buat pelancong,” jelasnya.

Menurut Zainuddin, pihaknya yakin kemasukan pengunjung boleh mencapai 600,000 orang sekiranya rentas negeri dibenarkan sehingga hujung tahun ini.

Tambahnya, buat masa ini penularan Covid-19 di Langkawi melibatkan jangkitan tempatan termasuk Kluster Dah Teluk Nibung terdiri daripada pekerja sebuah hotel dan ahli keluarga mereka.

“Kita dapati ada penyebaran maklumat tidak benar di media sosial termasuk berkaitan penularan Covid-19 di pulau pe­ranginan ini yang mana ia mampu menjejaskan sektor pelancongan di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI