fbpx

Tidak pernah gelar diri ‘1st Lady Of Malaysia’ – Rosmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak pernah memberi gelaran ‘1st Lady of’ Malaysia’ kepada dirinya sendiri.

Sebaliknya gelaran itu sekadar memudahkan urusan pentadbiran.

“Isteri perdana menteri sebelum ini tidak begitu aktif dalam aktiviti kebajikan atau projek yang begitu menonjol ataupun seperti Permata Negara. Mereka (isteri perdana menteri terdahulu) tidak berapa aktif, jarang dipanggil untuk beri ucaptama, tetapi apabila suami (Najib) dilantik sebagai perdana menteri, I led very-very busy life (saya jadi sangat-sangat sibuk dengan kehidupan)” katanya.

Sementara itu ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk Seri Gopal Sri Ram mengenai mengapa bahagian Wanita Pertama Negara (F.L.O.M) dibentuk, Rosmah menjawab bukan tugasnya untuk membentuk jabatan kerana beliau tidak campur tangan dalam pentadbiran pejabat perdana menteri.

Sementara itu, Rosmah turut memaklumkan bahawa Najib pernah mengatakan kepadanya bahawa segala kritikan sebenarnya ditujukan kepadanya (Najib) tetapi dia telah menjadi ‘soft target’ ‘(serangan secara halus) di media sosial.

“Saya bersedia mengorbankan diri untuk suami saya.  Saya terpaksa mengambilnya kerana saya adalah isteri seorang ahli politik, lebih-lebih lagi Najib,” katanya.

Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung lagi 21 Oktober ini.

Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI