JAKARTA – Destinasi pelancongan popular Indonesia, pulau Bali akan kembali membuka pintunya kepada pelancong asing dengan penerbangan antarabangsanya bermula pada 14 Oktober depan, lapor laman berita Merdeka.com semalam.
Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia (PHRI) telah menyiapkan puluhan hotel untuk dijadikan lokasi kuarantin kepada pelancong antarabangsa yang tiba di situ.
“Bagi tahap pertama ini, sebanyak 35 buah hotel akan dijadikan lokasi kuarantin dan tambahan 62 hotel lagi bagi tahap kedua.
“62 buah hotel itu akan disahkan segera, bergantung kepada keperluan,” kata Penolong Pengerusi Kebudayaan, Persekitaran dan Pengurusan Awam Badan Pengurusan (BPD) PHRI Bali, I Gusti Ngurah Rai Suryawijaya kelmarin.
Menurut Rai, hotel di Bali sudah disiapkan untuk menjadi lokasi kuarantin malah banyak hotel lain yang berlumba-lumba untuk menjadi pusat kuarantin di Bali.
“Terdapat beberapa syarat iaitu hotel kuarantin bagi pelancong asing tidak boleh dicampur dengan pelancong domestik kerana sekiranya sesuatu berlaku, ia akan menjadi sukar untuk dipantau.
“Hotel-hotel juga harus mengeluarkan pakej kuarantin sendiri untuk lapan hari. Namun, kami berharap agar ia boleh disingkatkan lagi kepada lima atau tiga hari,” kata Rai.
Hotel yang disediakan sebagai pusat kuarantin adalah antara tiga hingga lima bintang.
Kos kuarantin selama lapan hari dianggarkan bernilai antara 10 juta rupiah hingga 25 juta rupiah (RM2,942 hingga RM4,413). – AGENSI