DUA selebriti industri muzik tanah air iaitu penyanyi berkumpulan wanita Dolla, Sabronzo dan Ismail Izzani Zainal Nazeri bergaya mempamerkan bakat mereka bermain permainan video mudah alih popular, Mobile Legends.
Sabronzo dengan nama penuhnya Wan Sabrina Wan Rusli dan Ismail Izzani dijemput bersama lapan lagi selebriti e-Sukan tanah air dalam satu pertarungan pertunjukan diberi nama MLBB All Star Funmatch pada 2 Oktober lalu.
Ia sempena sambutan ulang tahun kelima permainan Mobile Legends yang dibangunkan oleh Moonton sejak ia mula diterbitkan pada 14 Julai 2016.
Kedua-dua artis itu mengetuai pasukan masing-masing dengan mengharungi lima mod perlawanan iaitu Single Roles Heroes, Classic 5v5, Pandora, Classic 5v5 dan You Choose, I Fight.
Dalam pertembungan itu, pasukan Sabronzo diperkuatkan dengan kehadiran tiga streamer berpengaruh iaitu Soloz (Mohd. Faris Zakaria), Ombong Haha, Aul ML (Nazirul) dan Youtuber popular, Asyraf Rozami.
Pasukan Ismail Izzani pula dibintangi pemain futsal wanita negara, Intan Serah dan tiga lagi streamer terkenal iaitu Daddy Hood (Nureddy Nursal), XK Penjahat (Sofian Sultan) dan Xorn (Mohamad Zul Hisham Mohd. Noor).
Hasilnya, pasukan Ismail Izzani berjaya menewaskan pasukan Sabronzo dengan kemenangan tipis 3-2 dalam pertembungan sengit yang disiarkan secara penstriman langsung di platform Facebook dan Youtube Mobile Legends: Bang Bang.
“Sebenarnya kami sebagai satu pasukan lega dapat menang sebab terkejut juga bila kedudukan terikat 2-2. Kami pelajari kesilapan untuk menang di pusingan terakhir,” kata Ismail.
Bagi Sabronzo pula, dia berbangga dengan prestasi rakan-rakan sepasukannya yang telah memberikan permainan terbaik untuk bangkit mengikat kedudukan selepas mereka ketinggalan 0-2 dalam dua perlawanan awal.
“Saya tidak geram (kekalahan) kerana pasukan saya bermain dengan sangat baik. Sebagai ketua pasukan, saya rasa kurang dalam perlawanan ini mungkin kerana pengalaman saya belum menyamai rakan-rakan lain. Malangnya kami kurang bernasib baik,” jelasnya.
Bagi memeriahkan pertembungan itu, Moonton turut membuat peraduan dengan memilih 10 orang bertuah dengan memberikan kod penebusan Razer Bonus Gold, Razer Gaming Headset dan Razer Iskur Gaming Chair yang bernilai RM2,065.
Selain kehebatan lapan selebriti, empat pengulas turut dipanggil bagi merancakkan kehangatan ‘peperangan’ itu iaitu Mohd. Amirul Aiman Mohammad Kamal atau Laphel, Radzi Rahman Ibrahim (Ikuto), Terence Yong (icybaby12) dan Aaron Chan (Qontra).