PETALING JAYA – Orang ramai menyambut saranan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya dapat merentas negeri dengan keadaan bebas Covid-19 demi memastikan penularan wabak tidak berlaku.
Khairy Jamaluddin semalam mengingatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung untuk melakukan ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) bagi memastikan bebas dari Covid-19.
“Sekiranya anda ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa yang sudah tua sila lakukan ujian air liur RTK demi memastikan keselamatan mereka,” katanya semalam.
Tinjaun Kosmo! di ruangan komen mendapati orang ramai sanggup melakukan ujian RTK sebelum pulang ke kampung tetapi sebahagian pengguna media sosial mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) yang bakal diguna pakai oleh kerajaan.
Salah seorang pengguna @maljei berkata, dia berharap kerajaan sudah bersedia dengan segala SOP merentas negeri dan mengharapkan kesilapan lalu tidak berulang lagi.
“Saya harap sekarang kerajaan sudah siap SOP ketika sempadan negeri dibuka dan jangan ulangi tingkah laku “umumkan terlebih dahulu, SOP kemudian” seperti kerajaan lama.
“Umumkan tarikh yang betul, bukan “mungkin isnin atau selasa” dan bersama SOP supaya semua orang dapat merancang perjalanan mereka dengan lancar,” jelasnya.
Sementara itu, @MohdShfqIzwn pula meminta kerajaan untuk membuat pengumuman awal berkenaan SOP kebenaran rentas negeri bagi memudahkan pergerakan orang ramai.
“Assalamualaikum YB @Khairykj, SOP dah ready ke? kalau ready sila keluarkan awal untuk kami buat persediaan lanjut. Harap bukan “umum kebenaran rentas negeri tapi tunggu SOP ready dalam minggu depan”, ujarnya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan jika kadar lengkap vaksinasi dalam negara bagi populasi dewasa sudah mencapai 90 peratus larangan untuk merentas negeri akan ditarik semula.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929