TURIN – Ketua Jurulatih Belgium, Roberto Martinez mencabar anak-anak buahnya untuk menamatkan kemarau kejuaraan menjelang pertemuan separuh akhir saingan Liga Negara-Negara Eropah menentang Perancis di Stadium Allianz awal pagi esok.
Kata Martinez, status sebagai pasukan No.1 dunia tidak memberi sebarang makna sekiranya gagal menjulang trofi antarabangsa dan saingan Liga Negara-Negara Eropah adalah medan terbaik buat anak-anak buahnya membalas kritikan.
“Kami sangat berbangga apabila dapat menduduki ranking No.1 dunia untuk tempoh lebih tiga tahun kerana untuk negara yang hanya memiliki populasi 11 juta, ia adalah pencapaian yang luar biasa.
“Namun, saya lebih berminat sekiranya pasukan yang dianggap sebagai generasi emas ini dapat menjulang trofi antarabangsa yang lebih bermakna sekali gus mencipta sejarah dan legasi tersendiri kerana pencapaian terbaik mereka hanya menduduki tempat ketiga Piala Dunia 2018.
“Secara keseluruhan, saya anggap pertemuan menentang Perancis untuk aksi separuh akhir esok adalah cabaran yang sukar kerana mereka adalah juara Piala Dunia dan saya mahu pasukan memberikan seratus peratus di atas padang,” katanya.
Mengulas lanjut, Martinez mengakui berharap penyerang utama, Romelu Lukaku berada dalam tahap terbaik untuk memastikan pasukan dapat melangkah ke pentas final untuk bertemu sama ada Itali atau Sepanyol yang bersaing pada satu lagi aksi separuh akhir awal pagi tadi.
“Lukaku menjadi salah seorang pemain terbaik yang Belgium miliki dan kami mengharapkan sentuhan penyudahnya untuk membantu pasukan mara ke pentas final sekali gus mencerahkan peluang untuk menjulang trofi pertama di peringkat antarabangsa,” katanya. – AGENSI