PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima cadangan tambahan Rumah Ikram Keluarga Malaysia sebanyak 877 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) lagi di bawah kerajaan negeri Johor dan 30 unit PPR di bawah kerajaan negeri Perak.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, terdahulu pihaknya telah menyediakan 1,000 unit kediaman di kawasan PPR sedia ada termasuklah di Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Johor bagi fasa 1 sebagai langkah permulaan.
“Ini adalah bagi memberi keselesaan kepada Keluarga Malaysia khususnya golongan B40 bertepatan dengan agenda KPKT dalam merawat keresahan rakyat serta meningkatkan keyakinan rakyat khususnya dalam fasa pasca penularan Covid-19.
“Inisiatif bersifat proaktif ini juga merupakan sebahagian daripada Agenda ‘Liveable Malaysia’ atau Malaysia Berdaya Huni yang digagaskan melalui fungsi serta peranan KPKT,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Terdahulu, beliau menyerahkan kunci kepada sembilan orang penerima manfaat Rumah IKRAM Keluarga Malaysia yang akan mula menduduki kediaman di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Selangor.
Dalam pada itu, Reezal Merican memaklumkan, sehingga 5 Oktober lalu, KPKT telah menerima sebanyak 690 permohonan dan 310 dari permohonan tersebut adalah permohonan yang terdiri dari Ketua Isi Rumah Wanita. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929