JERANTUT – Dipercayai gara-gara tersalah meletak posisi ‘gear’ sebuah kereta yang dipandu seorang warga asing merempuh sebuah bank di bandar Inderapura di sini hari ini.
Bagaimanapun kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu hanya menyebabkan dinding kaca bank berkenaan pecah serta rosak tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
Seorang pelanggan bank, Anuar Abdullah,50, berkata, dia yang sedang beratur di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank berkenaan terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan bunyi kaca pecah.
“Kejadian yang berlaku dalam beberapa saat ini mengejutkan semua pelanggan di dalam bank dan ada yang melaungkan ‘Allahuakbar’ serta lari keluar daripada bank kerana bimbang keselamatan masing-masing.
“Nasib baik semasa kejadian semua pelanggan berada di dalam bank dan tidak berada di kaki lima bank, cuma cermin dinding kaca sahaja yang pecah dan tiada individu yang mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Anuar, pemandu kereta berkenaan hanya terpinga-pinga selepas kejadian sebelum mengundurkan kereta dan menghubungi rakannya.
Katanya, kejadian menyebabkan dinding kaca bank berkenaan pecah dan rosak manakala ‘bumper’ hadapan kereta terbabit tercabut.
“Saya difahamkan kereta dipercayai dipandu warga asing itu mahu mengundur tetapi tersalah ‘meletakkan’ posisi ‘gear’ menyebabkan kereta itu merempuh bank,”katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, polis sedang melakukan siasatan terhadap kejadian yang melibatkan pemandu warga asing berkenaan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal pemandu berkenaan menyatakan tertekan pedal minyak secara mengejut dan siasatan dilakukan termasuklah dalam aspek lesen memandu dan sebagainya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929