fbpx

Kerajaan beli ubat antiviral Molnupiravir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) pembelian ubat antiviral Molnupiravir dengan Merck Sharp & Dohme.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, melalui perjanjian itu, kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap (patient courses) untuk merawat pesakit Covid-19.

“Keputusan ini dibuat sebagai persediaan kita memulakan peralihan ke fasa endemik untuk hidup bersama virus Covid-19 dengan menambah pilihan rawatan inovatif baharu sebagai ‘senjata’ untuk melawan Covid-19, selain penggunaan vaksin dan tindakan-tindakan kesihatan awam yang lain.

“Kajian yang dijalankan oleh Merck Sharp & Dohme mendapati Molnupiravir menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus selain turut berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti gamma, delta dan mu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa sekalipun ubat Molnupiravir itu berkesan, ia bukan bermakna vaksin tidak diperlukan lagi kerana fungsinya adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk.

“Ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan. Ia hanya bermanfaat kepada yang sudah dijangkiti.

“Kita memerlukan kedua-dua kaedah untuk menurunkan beban penyakit Covid-19, sekali gus memberikan impak yang lebih besar dalam usaha pencegahan dan kawalan penularan jangkitan virus itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM akan terus memantau perkembangan pembangunan ubat-ubatan berkaitan rawatan pesakit Covid-19 di seluruh dunia untuk memastikan negara kita tidak ketinggalan untuk mendapatkan rawatan terbaik kepada penduduk Malaysia. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI