fbpx

Jadi pemimpin bukan untuk buat harta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Hari ini, ramai orang berebut-rebut untuk menjadi pemimpin, baik di peringkat pentadbiran negara, parti politik, persatuan hinggalah kepada pentadbiran surau.

Masing-masing mahu berada dalam barisan pucuk pimpinan organisasi masing-masing walaupun mereka menyedari tanggungjawab yang bakal dipikul adalah berat.

Yang berebut-rebut itu pula terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah individu yang berpengetahuan, berpendidikan, orang kaya dan miskin, golongan bangsawan dan rakyat biasa hinggalah kepada golongan tua dan muda, semuanya mahu diangkat menjadi pemimpin.

Mungkin, pelbagai kelebihan yang menanti jika diangkat menjadi pemimpin, menjadi dorongan yang kuat buat seseorang untuk merebut jawatan tersebut. Dalam kata mudah ‘senang nak buat buat duit atau harta’ bila duduk kat atas.

Jika itulah yang menjadi matlamat seseorang dalam merebut jawatan sebagai pemimpin, maka percayalah organisasi yang bakal dipimpin oleh individu terbabit bakal berantakan dan menuju kehancuran.

Imam Ghazali pernah menyatakan, pemimpin yang adil adalah pemimpin yang menghukum dengan penuh keadilan dan apabila berkata dengan penuh kebenaran, tidak menyakiti hati orang dan jujur sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain.

Secara hakikatnya, hanya pemimpin yang adil mampu mewujudkan suasana yang aman, makmur dan sejahtera kerana golongan yang lemah akan mendapat pembelaan, manakala mereka yang zalim dihukum sewajarnya.

Dalam erti kata lain, jika seseorang yang jujur dan amanah itu mentadbir sebuah syarikat maka syarikat yang ditadbirnya itu tetap akan berdaya saing dan semua kakitangannya mendapat manfaat yang sepatutnya walaupun syarikat itu hanya memperoleh pendapatan yang tidak sebesar mana.

Bagaimanapun, jika ia ditadbir oleh pemimpin yang tidak amanah dan hanya memikirkan diri sendiri, maka sudah tentu syarikat itu akan ‘rosak’ dan pekerjanya akan berantakan walapun syarikat itu sebenarnya meraih pendapatan yang tinggi.

Kadang-kadang terfikir juga, masih wujudkah pemimpin seperti yang disebut oleh Imam Ghazali itu pada zaman ini? Masih adakah pemimpin pada masa ini yang mampu untuk memastikan orang yang berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka, sementara orang-orang yang lemah dipastikan tidak teraniaya?

Jika kita berhasrat untuk memiliki pemimpin seperti yang dinyatakan oleh Imam Ghazali itu, maka kita sendiri seharusnya berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab memilih individu yang akan memimpin kita.

Pihak-pihak yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin pula perlulah menampakkan ciri-ciri kesungguhan untuk memajukan, membangunkan dan menyelamatkan organisasi yang bakal dipimpin dan bukannya lebih kepada untuk kepentingan diri.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI