SHAH ALAM – Seorang hakim Mahkamah Sesyen mengingatkan bekas eksekutif kanan telekomunikasi bahawa setiap perbuatan termasuk rasuah dilihat Allah walaupun manusia tidak dapat melihatnya sebelum menjatuhkan denda RM35,000 dan penjara sehari, hari ini.
Mohamad Hafiz Azmi, 35, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Rozilah Salleh selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan rasuah berkaitan kerja pembekalan dan penyelenggaraan pada 2018 dan 2019.
Mahkamah juga memerintahkan penjara keseluruhan sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut dua pertuduhan pilihan, bapa kepada seorang anak itu didakwa diberikan suapan RM5,000 dan RM10,910.05 daripada pemilik sebuah syarikat sebagai dorongan membantu mendapatkan kerja pembekalan alat telekomunikasi.
Tertuduh melanggar peruntukan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu tidak melaporkan pemberian suapan itu kepada pihak SPRM dan polis.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Glenmarie di sini, pada 6 September 2018 dan 7 Mac 2019.
Justeru, Mohamad Hafiz melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929