PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengesahkan kejadian kebakaran telah berlaku membabitkan sebuah menara komunikasi yang terletak Taman Terendak Permai, Sungai Udang, Melaka.
Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 1 tengah hari semalam melibatkan menara komunikasi milik Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. yang dikendalikan oleh syarikat U-Mobile dan YTL.
Punca kebakaran di menara komunikasi berkenaan bagaimanapun masih belum diketahui dan sedang dalam siasatan.
“Ekoran insiden tersebut, gangguan perkhidmatan komunikasi dan internet dijangka berlaku untuk tempoh beberapa hari di kawasan-kawasan seperti Taman Terendak Permai, Taman Sri Terendak, Taman Bukit Terendak, Taman Pahlawan, Kampung Sungai Udang, Pekan Sungai Udang, RKAT Taman Desa Tun Razak dan Taman Peruna.
“Kerja-kerja baik pulih melibatkan menara komunikasi di Taman Terendak Permai, Sungai Udang yang terbakar sedang giat dijalankan bagi memastikan liputan Internet dan perkhidmatan komunikasi kembali pulih demi kemudahan penduduk setempat,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, pihak MCMC telah mengarahkan semua penyedia perkhidmatan terlibat untuk melaksanakan kerja baik pulih pada kadar segera.
Katanya, sebagai langkah sementara, penyedia perkhidmatan terlibat akan melakukan optimization di menara-menara komunikasi berhampiran bagi meminimumkan kesan gangguan.
“Rangkaian komunikasi yang terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya selewat-lewatnya pada Selasa minggu hadapan,” katanya. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929