fbpx

Fazura terharu Permaisuri Selangor berkenan pakai tudung jenamanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZURA (kiri) terharu apabila Tengku Permaisuri Norashikin berkenan memakai salah satu tudung daripada koleksi jenamanya, Tudung Fazura.

PETALING JAYA – Selepas menerima seutas rantai, aktres popular Fazura sekali lagi menzahirkan rasa terharu selepas Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berkenan mengenakan tudung daripada jenamanya iaitu Tudung Fazura.

Fazura menerusi sebuah hantaran Instagram semalam memuat naik ebberapa keping foto yang memaparkan Permaisuri Selangor berkenan memakai sehelai tudung berwarna biru muda dan bercorak bunga ketika berangkat hadir ke sebuah majlis penyampaian sumbangan semalam.

Menurut pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu, dia berasa kagum apabila melihat seorang wanita berpangkat Permaisuri mengenakan sehelai tudung berharga RM27.

“Redup pandangan, sejuk mata memandang, dari mata turun ke hati. Saya sangat kagum, bersyukur dan berbesar hati melihat Tengku Permaisuri Selangor berkenan mengenakan Tudung Fazura.

“Dalam kita sering didendangkan dengan kisah-kisah hartawan, sungguh menginsafkan melihat seorang permaisuri negeri berkenan mengenakan tudung dengan harga kurang daripada RM30,” kata aktres berusia 38 tahun itu.

Malah, isteri kepada aktor Fattah Amin itu juga berharap sikap rendah diri Tengku Permaisuri Norashikin dapat dijadikan teladan yang baik untuk semua rakyat jelata.

“Dari telaga yang jernih, tidak akan mengalir air yang keruh. Siang menjadi angan-angan, malam menjadi buah mimpi. Suri teladan seluruh negeri.

“Junjung Kasih Tuanku. Semoga Allah SWT terus merahmati Tengku Permaisuri Selangor,” ujar pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin itu.

Terdahulu, hubungan baik antara Tengku Permaisuri dengan Fazura bukan lagi perkara asing dalam kalangan netizen selepas dia beberapa kali menerima hadiah istimewa daripada isteri kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu.

Semalam, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menghadiahkan seutas rantai berlian buat puteri kesayangan Fazura iaitu Nur Fatima Aisya sempena ulang tahun kelahiran yang pertama.

Sebelum ini, Fazura juga pernah menerima kepingan syiiling emas dan beberapa naskhah buku agama daripada Tengku Permaisuri Selangor. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI