PARIS – Ketua Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menjangkakan aksi sukar menjelang separuh akhir saingan Liga Negara-Negara Eropah yang dijadualkan berlangsung di Stadium Allianz awal pagi esok.
Pada Piala Dunia 2018, kedua-dua pasukan turut bertemu di pentas separuh akhir yang menyaksikan Perancis melakar kemenangan tipis 1-0 untuk mara ke final seterusnya menjulang trofi paling berprestij itu.
Justeru, beliau percaya kedua-dua pasukan memiliki kekuatan hampir sama berdasarkan senarai pemain yang dimiliki, cuma corak permainan bakal membezakan mereka pada perlawanan itu nanti.
“Ia akan jadi satu perlawanan yang sangat sukar, terutamanya dari segi fizikal, teknikal serta taktikal. Saya juga percaya kedua-dua pasukan menghormati kemampuan masing-masing.
“Kami adalah musuh ketat di atas padang, sama seperti Itali dan Sepanyol kerana kami negara bersempadan. Mereka pastinya mahu menebus kekalahan pada Piala Dunia 2018 sebelum ini,” kata Deschamps.
Beliau yang juga pemenang Piala Dunia 1998 menganggap Belgium adalah pasukan pilihan pada perlawanan itu nanti berdasarkan status mereka sebagai pasukan No.1 dunia selain memiliki ramai pemain terbaik dunia.
“Mereka adalah pasukan No.1 dunia dalam ranking FIFA. Selain itu, mereka juga dibarisi ramai pemain muda berbakat serta pemain berpengalaman yang memiliki lebih 100 kaps,” ujarnya. – AGENSI