fbpx

Buat produk seramik sendiri beri kepuasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD RADZI (kanan) menunjukkan cara-cara pembuatan seramik menggunakan bahan semula jadi dan bebas bahan kimia.

MEMPELAJARI budaya dan berpeluang menghasilkan sendiri produk tempatan merupakan antara kepuasan ketika bercuti atau mengembara ke tempat orang.

Ia secara tidak langsung memberikan satu pengalaman berharga. Jika bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah, Ilham Ceramic Studio merupakan salah satu lokasi wajib untuk dikunjungi.

Ini kerana, di situ pengunjung bukan hanya dapat membeli terus produk seramik buatan tangan jenama Ilham Ceramic, tetapi turut berpeluang mengikuti kelas pembuatannya.

PELANCONG berpeluang mempelajari pembuatan seramik di Ilham Ceramic Studio sambil
membeli-belah produk tersebut.

Terdapat lebih 100 aneka pilihan produk seramik yang ditawarkan seperti pinggan mangkuk kegunaan harian, potpourri dan pelbagai barangan dekorasi untuk hotel, restoran, spa serta kediaman.

Di samping itu, Ilham Ceramic turut menerima tempahan untuk pelbagai acara sebagai hadiah atau cenderamata.

Menurut pemiliknya, Mohammad Radzi Ismail, perusahaan itu dijalankan sejak 2010 secara kecil-kecil di Shah Alam, Selangor dan lima tahun kemudian perniagaan itu dipindahkan ke Langkawi.

“Produk kami bebas kimia dan menggunakan bahan semula jadi seperti tanah liat, stoneware dan licau (glaze).

“Tanah liat sebagai bahan utama diambil dari Kuala Kangsar, Perak. Justeru, seramik yang dihasilkan lebih selamat untuk digunakan, tahan lasak dan sangat cantik,” katanya yang merupakan anak jati pulau legenda itu.

Tambahnya, seramik itu dibentuk menggunakan tangan mengikut teknik tertentu seperti picitan dan lingkaran menjadikan setiap item tersebut sangat eksklusif.

Harga yang ditawarkan untuk setiap satu produk itu bermula dari RM6 hingga ribuan ringgit bergantung kepada saiz dan rekaan.

Di samping menawarkan produk seramik berkualiti tinggi, Ilham Ceramic Studio yang terletak di Kampung Bendang Baru, Kuah itu sangat indah dipandang mata dengan dekorasi pokok menghijau menyelimuti premis tersebut.

KESEMUA produk Ilham Ceramic dihasilkan 100 peratus daripada kerja tangan dan sangat eksklusif.

Jelas Mohammad Radzi, di studio itu, pihaknya turut menyediakan kelas untuk pengunjung menimba pengalaman bagi menghasilkan sendiri produk seramik.

“Kami sediakan kelas asas dan lanjutan iaitu aktiviti sangat digemari pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kelas asas itu boleh dihadiri sebanyak empat kali, manakala kelas lanjutan pula ditawarkan selama sebulan,” katanya yang berpengalaman sebagai pensyarah selama lima tahun di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Caj untuk kelas tersebut bermula daripada RM65 hingga RM750 sebulan bergantung kepada bilangan kelas dihadiri.

KELAS asas hingga kelas lanjutan disediakan untuk pencinta seramik mempelajari dan menambah ilmu.

Beliau yang merupakan usahawan di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) itu memberitahu, pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pelancong luar yang tidak dapat pulang ke negara mereka dan memilih untuk mengikuti kelas pembuatan seramik itu.

Ketika pandemik, hampir 90 peratus produk Ilham Ceramic dijual secara online seperti di platform yang disediakan pihak Kraftangan Malaysia dan laman sosial miliknya.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan, Mohammad Radzi merancang untuk membuka cawangan baharu di Shah Alam supaya mereka boleh membeli dan mendapatkannya dengan mudah tanpa perlu datang ke Langkawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI