KLANG – Perbuatan jahat seorang bomoh melakukan tipu daya sehingga menyalahgunakan harta iaitu 24 barang kemas bernilai RM22,910 milik pelanggannya ketika rawatan sihir, Ogos lalu membawa padah apabila dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Majistret P. Sarulatha menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohd. Izwan Mohd. Ahmit, 34, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Perintah hukuman penjara itu adalah bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 5 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu dengan curang menyalahgunakan harta iaitu 24 jenis emas bernilai RM22,910 yang diserahkan kepadanya oleh seorang lelaki berusia 48 tahun untuk tujuan rawatan.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh yang digelar Tok Wan di sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang pada 21 Ogos lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan denda, sekiranya disabitkan kesalahan.
Terdahulu pada prosiding tersebut, Mohd. Izwan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana tidak bekerja selain perlu menanggung isteri dan empat orang anaknya.
“Saya juga menghidap penyakit darah tinggi dan kanser prostat,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli memohon hukuman setimpal terhadap jenayah dilakukan tertuduh.
Katanya, mangsa seorang wanita telah membuat panggilan kepada bomoh pengamal perubatan tradisonal susulan disyaki mengalami gangguan misteri.
“Tertuduh bersama penolongnya telah hadir dan meminta mangsa menyerahkan barangan kemas agar sihir dapat dibuang.
“Selain 24 buah barang kemas emas yang diambil, mangsa turut menanggung kos rawatan berjumlah RM6,650 sepanjang berurusan dengan tertuduh,” jelasnya.-K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929