ALOR SETAR – Pelakon, pelawak dan penulis lirik popular, Bob Lokman, 57, kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani rawatan laser untuk memulihkan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah di sini Isnin lalu.
Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd. Hakim Lokman memberitahu, dia terpaksa menjalani rawatan itu untuk menutup jantung di bahagian atas yang rosak.
“Alhamdulillah, saya sihat. Doktor kata keadaan jantung saya kini stabil walaupun bengkak sedikit sebab buat laser dan akan pulih dua tiga hari lagi.
“Doktor masih pantau keadaan saya, insya-Allah kalau keadaan semakin pulih dua tiga hari nanti, saya boleh keluar wad,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Bob, dia menerima rawatan lanjut di Unit Penjagaan Koronari (CCU) hospital itu sejak lima hari lalu.
“Saya ke Kedah untuk menjalani rawatan susulan setelah lama tertangguh, namun dimasukkan ke CCU sebab jantung saya di bahagian atas bergerak terlalu laju dan tidak stabil.
“Alhamdulillah saya rasa jantung saya semakin baik,” ujarnya.
Jelas Bob Lokman, dia sepatutnya ke hospital berkenaan untuk rawatan susulan enam minggu lepas, namun terpaksa ditangguhkan ekoran peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.
“Seminggu lepas itu barulah saya dapat ke sini dan buat pemeriksaan. Bila periksa, doktor cakap degupan jantung saya tak normal dan syor buat laser.
“Alhamdulillah Tuhan permudahkan semua. Saya ingin ucap terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya,” katanya yang ditemani isteri, Relawati Daud, 43, dan dua anaknya dari Kelantan ke negeri ini.
Bob Lokman menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah pada hujung tahun lepas.
Bob mempunyai masalah jantung sejak 1998 sebelum itu dimasukkan Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kota Bharu Kelantan.