PUTRAJAYA – Pengeluaran ayam dan telur ayam adalah mencukupi bagi menampung keperluan dan permintaan pengguna berdasarkan data diperolehi melalui pemantauan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurut kenyataan KPDNHEP, Bahagian Penguat Kuasa kementerian tersebut sentiasa membuat pemantauan bekalan berkala ke atas 20 syarikat pengeluar ayam yang mewakili 1,028 ladang bermula 22 September tahun lalu.
Katanya, selain itu pemantauan bekalan ke atas 50 syarikat pengeluar telur ayam yang mewakili 101 ladang turut dijalankan bermula awal Mei tahun lalu bagi melihat kedudukan bekalan ayam dan telur ayam di seluruh negara.
“Dianggarkan pengeluaran bekalan bagi ayam oleh pihak penternak di pasaran pada bulan Oktober ini adalah sebanyak 64.9 juta ekor sebulan manakala, anggaran pengeluaran bekalan bagi telur ayam adalah melebihi 1 bilion biji sebulan.
“Selain itu, KPDNHEP juga sentiasa menjalankan pemeriksaan berkaitan keberadaan bekalan ayam dan telur ayam ke atas 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 1,039 pemborong terpilih daerah (DDW) secara harian yang meliputi 222 Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, KPDNHEP mengambil maklum dan reaksi proaktif ke atas laporan akhbar dan media sosial berhubung peningkatan permintaan ke atas ayam dan telur ayam di pasaran berikutan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929