fbpx

Ayam Thailand murah punca aktiviti seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZLIN (kiri) menunjukkan lori yang digunakan untuk membawa ayam hidup seludup pada sidang akhbar di Tumpat semalam. – ZULHANIFA SIDEK

TUMPAT – Kenaikan harga ayam di negeri ini yang mence­cah sehingga RM10 sekilogram dipercayai menjadi antara punca berlakunya kegiatan penyeludupan bekalan tersebut dari negara jiran.

Difahamkan, harga ayam di Thailand adalah RM5 hingga RM6 sekilogram sekali gus mendorong penyeludup mengambil kesempatan membawa masuk bekalan ayam hidup ke negara ini bagi mengaut untung.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Superintendan Mohd. Razlin Abdul Manaf berkata, dalam tempoh lima hari Oktober ini, sebanyak tiga kes penyeludupan ayam hidup berjaya dipatahkan pihaknya.

Menurutnya, kejayaan itu merupakan kerjasama PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Ops Bersepadu di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

“Dalam tangkapan terbaharu, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menahan sebuah lori dipandu lelaki tempatan di Jalan Jubakar di sini pada pukul 12.30 tengah malam semalam (kelmarin).

“Pemeriksaan ke atas ken­deraan itu menemui 1,980 ayam hidup bernilai RM60,192 dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Razlin memberitahu, pemandu lori berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 11(1) Akta Pemeriksaan dan Kuarantin Malaysia 2011.

Menurut beliau lagi, pihak­nya merampas dua buah lori yang membawa 3,480 ekor ayam hidup di Pengkalan Kubor dalam operasi secara berasingan dengan Batalion 7 PGA pada 1 Oktober lalu.

“Dalam serbuan pertama, pihak kami merampas 1,980 ekor ayam hidup dan menahan tiga lelaki di pengkalan haram Pok Leh, Tualang pada pukul 1 pagi.

“Dalam serbuan kedua pula di Jalan Simpangan di sini, sebanyak 1,500 ekor ayam hidup dirampas selepas pihak kami menahan sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI