fbpx

Veteran PPH meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Mohd. Salleh

KOTA TINGGI – Veteran polis yang juga antara anggota pengasas awal Pasukan Polis Hutan (PPH), Sub Inspektor Mohd. Salleh Yunos meninggal dunia di kediamannya di Taman Kota Jaya di sini semalam.

Allahyarham yang berumur 87 tahun meninggal dunia pada pukul 3.30 petang kerana sakit tua.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang di sini malam tadi.

Dua tahun lalu Allahyarham sepatutnya menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Johor Bharu kepada petugas polis era darurat dan insurgensi tetapi tidak dapat hadir disebabkan keuzuran.

Menurut anak Allahyarham, Zaki Salleh, bapanya yang menyertai polis pada tahun 1952 pernah berkhidmat di Balai Polis Daerah Kota Tinggi selama tujuh tahun sebelum ke Sungai Siput, Perak

Kata beliau, bapanya kemudian menyertai PPH pada tahun 1960 di Hulu Kinta sebelum bersara pada 1989 di Batalion 9 PPH Kem Bakri, Muar.

“Abah memang dalam keadaan uzur sebelum ini sebab faktor usia, cuma keadaan kesihatannya tidak begitu baik sejak dua minggu lepas..

“Bagaimana pun, kami sekeluarga reda dengan pemergian Abah pada usianya yang semakin lewat,” katanya yang juga merupakan wartawan Kosmo! di Perak.

Kosmo! sebelum ini pernah menyiarkan kisah Allahyarham Mohd. Salleh semasa menentang pengganas komunis dan era Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Pada tahun 1965, dia bersama pasukan PPH dihantar ke Pengerang dekat sini bagi membantu tentera mengepung sekumpulan tentera Indonesia sebelum musuh akhirnya meletakkan senjata.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI