IPOH – Polis menahan tiga individu termasuk dua wanita dan merampas 62 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan 1,400 biji pil kuda dalam serbuan di dua lokasi di kawasan Lahat di sini kelmarin.
Lelaki warga India berusia 42 tahun bersama dua wanita termasuk seorang warga Indonesia masing-masing berusia 21 dan 26 tahun itu diberkas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan pertama pada pukul 5 petang di sebuah rumah kedai di Bandar Lahat Mines itu membabitkan suspek warga India bersama 62 ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja.
Katanya, dadah seberat 62kg itu dianggarkan bernilai RM248,000.
“Susulan tangkapan tersebut, kita telah membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah di Lahat dan menahan dua wanita.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 1,400 biji pil yaba dengan anggaran berat 161 gram dan ganja seberat 2.05 gram. Jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM276,102.50,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.
Menurut Mior Faridalathrash, siasatan mendapati bekalan dadah itu diperolehi dari negeri di utara dan disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan yang dianggarkan boleh digunakan oleh 151,400 penagih dadah.
“Semakan mendapati, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan air kencing yang dijalankan juga negatif dadah.
“Siasatan mendapati, kumpulan itu aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu. Kita juga percaya ketiga-tiga individu itu merupakan ahli kepada sindiket pengedaran dadah,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah lori, kereta jenis Proton Waja, dua motosikal dan barang kemas bernilai RM86,663,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929