fbpx

‘Suspek bunuh ibu bapa baik dan ramah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis mengangkat mayat salah seorang mangsa yang dibunuh oleh anak sendiri dalam kejadian di Kampung Kemahang di Benta dekat Lipis kelmarin.

LIPIS – Seorang ahli keluarga lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh ibu bapa sendiri di Kampung Kemahang Hulu, Benta dekat sini, menyatakan adiknya seorang yang baik dan ceria sebelum ini.

Kakak suspek yang ingin dikenali sebagai Aishah, 33, berkata, dia sudah lama tidak berjumpa dengan adik dan ibu bapanya iaitu hampir dua tahun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak sangka kejadian itu berlaku.

Katanya, dia bergegas pulang ke kampung dari Terengganu sebaik dimaklumkan mengenai pembunuhan itu pada pukul 1 pagi.

“Sebaik sampai pada pukul 7 pagi tadi (semalam), saya tergamam dan amat sedih dengan kejadian itu apabila ramai saudara mara dan penduduk datang berziarah.

“Ketika menghubungi ibu sebelum ini, dia mengatakan adik dalam keadaan biasa dan tidak menunjukkan perangai pelik. Dia juga seorang yang suka bergurau,” katanya.

Tambahnya, dia tidak me­ngetahui sepenuhnya mengenai kejadian itu kerana menetap di Kuala Terengganu dan tidak pernah pulang ke kampung hampir dua tahun lalu akibat PKP.

Menurut Aishah, dia reda de­ngan ujian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

PIHAK berkuasa memasang pita garisan polis di kawasan rumah yang menjadi lokasi pembunuhan pasangan suami isteri di Benta kelmarin.

Sementara itu, seorang jiran dikenali sebagai Faisal, 29, berkata, ketika itu dia sedang berehat di depan rumah sewanya dan ternampak suspek berjalan kaki pada pukul 11.15 malam.

“Kami melihat suspek berjalan dengan meletakkan kedua-dua belah tangannya di belakang kepala menuju ke kawasan jalan utama.

“Kemudian saya melihat ramai orang kampung datang mengelili­ngi suspek dan menahannya tetapi dia tidak melawan,” katanya.

Tambahnya, dia terkejut de­ngan kejadian itu kerana suspek dikenali sebagai pemuda yang baik dan tidak pernah mengganggu sesiapa.

“Saya bersekolah menengah bersama suspek dan dia seorang pemuda yang baik dan akan bertegur sapa jika berselisih atau bertemu.

“Dia langsung tidak menunjukkan sikap murung atau menghadapi tekanan. Saya hairan dan pelik mengapa dia boleh jadi begitu,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih giat dijalankan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI