MANCHESTER – Bekas pengurus legenda Manchester United, Alex Ferguson mengkritik tindakan pengendali semasa The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer yang tidak meletakkan penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama pada aksi bertemu Everton Sabtu lalu.
Pada perlawanan tersebut, Solskjaer hanya memasukkan Ronaldo sebagai pemain gantian pada 30 minit terakhir yang dianggap sudah terlewat untuk membantu pasukan meraih kemenangan selepas terikat 1-1 di Stadium Old Trafford.
Ferguson dilaporkan berkata demikian ketika berbual dengan jaguh seni bela diri campuran (MMA) dunia, Khabib Nurmagomedov sewaktu menyaksikan perlawanan tersebut hingga video yang dirakam tular di laman sosial.
Kata Ferguson, mana-mana pengurus sepatutnya meletakkan pemain terbaik dalam kesebelasan utama dan keputusan Solskjaer hanya membariskan Ronaldo di bangku simpanan memberi keyakinan tambahan buat skuad The Toffees.
“Everton seperti meletakkan sebelah kaki dalam usaha mencuri mata berharga apabila melihat barisan kesebelasan United tanpa kelibat Ronaldo. Ia adalah keputusan yang tidak masuk akal kerana anda perlu sentiasa membariskan kesebelasan terbaik dan Ronaldo adalah pemain terbaik United,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain The Red Devils, Gary Neville turut membidas keputusan Solskjaer selain percaya reaksi Ronaldo selepas tamat perlawanan itu bakal memberi tekanan tambahan buatnya dalam usaha mengekalkan jawatan selepas mempamerkan prestasi kurang konsisten musim ini.
“Kita boleh lihat Ronaldo tidak gembira pada penghujung perlawanan kerana gagal membantu meraih kemenangan dan menjaringkan gol. Namun, sudah tentu kekecewaan terbesarnya adalah tidak diletakkan dalam kesebelasan utama,” katanya.
United kini menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengutip 14 mata daripada tujuh perlawanan. – AGENSI