fbpx

Sembilan hari gelisah, rumah digenangi air paya busuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFENDI AHMAD menunjukkan kawasan rumah keluarganya yang digenangi air di Kampung Bertam Baru, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Tiga keluarga hidup dalam kegelisahan selepas kawasan rumah mereka di Kampung Bertam Baru di sini digenangi limpahan air paya berbau busuk sejak sembilan hari lalu.

Kejadian air termenung itu dipercayai berlaku ekoran sistem saliran yang kurang baik sehingga menyebabkan parit berhampiran tersumbat.

Seorang penduduk, Ahmad Yaacob, 68, berkata, dia berasa bingung melihat keadaan rumahnya yang masih digenangi air meskipun cuaca baik.

Katanya, sejak dia tinggal di kampung itu 35 tahun lalu, kejadian air termenung itu adalah yang terburuk apabila rumah­nya ditenggelami air sedalam 0.5 meter.

“Keadaan air termenung ini menyukarkan pergerakan keluar dan masuk kami sekeluarga untuk menjalankan aktiviti ha­rian.

“Aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib, namun belum ada sebarang tindakan yang dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi penduduk, Siti Samsiah Mat Zain, 49, pula memberitahu, sejak lebih se­minggu lalu dia terpaksa memasak dengan memakai but getah selepas dapurnya digenangi air hingga paras betis.

Jelasnya, tandas di bahagian belakang rumahnya juga sudah tidak dapat digunakan lagi di­sebabkan limpahan air tersebut.

“Selain kotor, air termenung ini juga berbahaya kepada keluarga saya terutama kepada anak yang masih kecil.

“Kami juga bimbang terdapat binatang berbisa ataupun barang terbuang seperti serpihan besi dan kaca di dalam air tersebut,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI