KOTA BHARU – Polis Diraja Malaysia Kelantan menafikan pihaknya menangkap dua beradik di Kampung Rumlag, Kuala Betis, Gua Musang seperti yang tular di Facebook semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, paparan menerusi akaun Facebook Nasir Nash yang menyatakan dua beradik telah ditangkap semasa mempertahankan kawasan mereka daripada pencerobohan syarikat pembalakan adalah tidak benar.
Menurutnya, anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang telah mengadakan perjumpaan bersama wakil penduduk Orang Asli Kampung Rumlag Sungai Raya berhubung halangan di kawasan pembalakan.
“Tujuan perjumpaan tersebut diadakan adalah bagi mengenal pasti punca masalah dan memberi nasihat mengenai aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.
“Semasa polis membuat rondaan di kawasan pembalakan berkenaan, dua lelaki itu meminta untuk bergambar bersama kenderaan polis sebagai kenangan dan untuk simpanan peribadi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shafien, bagaimanapun, gambar tersebut telah disalah erti dan ditularkan menerusi media sosial.
Menurutnya, sehubungan dengan itu, polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung kes itu yang akan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook yant menyatakan dua lelaki ditahan dan digari oleh pihak polis kerana menghalang pencerobohan pihak pembalak di kawasan tersebut Bagaimanapun, hantaran tersebut telah dipadam dan pihak berkenaan yang turut membuat permohonan maaf selepas itu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929