PARIS – Satu pergaduhan tercetus di jalanan selepas orang ramai terpaksa beratur dalam tempoh yang lama untuk memasuki sebuah kedai ‘pop-up’ atau ruang runcit sementara yang bertemakan siri popular Netflix, Squid Game di Paris, Perancis, lapor portal berita MailOnline semalam.
Menurut rakaman video yang tular, orang ramai dilihat beratur panjang di hadapan premis seluas 65 meter yang baru dibuka itu sebelum pergaduhan tercetus Ahad lalu.
Orang ramai kemudiannya bertumbuk di lokasi berdekatan kedai itu di Rue d’Alexandrie.
Pengunjung yang ketakutan mula melarikan diri sebelum polis tiba di tempat kejadian dan meleraikan pergaduhan itu.
Punca pergaduhan tidak diketahui namun, peminat siri itu berkata bahawa mereka telah menunggu selama beberapa jam dan ia mungkin telah menyebabkan beberapa individu berasa tertekan.
Seorang pengguna aplikasi sosial TikTok, @clemxhlgn mendedahkan bahawa dia terpaksa beratur selama tujuh jam sebelum boleh memasuki premis Squide Game itu.
Siri Netflix dari Korea Selatan yang mula ditayangkan pada 17 September lalu itu mendapat respons yang mengagumkan dari seluruh dunia.
Namun, ia menjadi perdebatan dalam kalangan penonton yang menyifatkannya sebagai ‘mempamerkan aksi pembunuhan dan kekejaman melampau’. – AGENSI