fbpx

Pasar borong Fasa 2, 3 boleh buka ikut syarat lesen PBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pasar borong di negeri Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan beroperasi mengikut syarat lesen dan permit pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti mana yang ditetapkan berkuat kuasa Sabtu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kebenaran beroperasi itu adalah tertakluk kepada syarat iaitu pekerja divaksin lengkap dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Katanya, kebenaran beroperasi itu merupakan antara beberapa kelonggaran baharu yang dibenarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini.

“Pelaksanaan Upacara Mengikat Thaali di rumah ibadat kuil bagi agama Hindu dan Pernikahan Kudus (Holy Matrimony) bagi agama Kristian dibenarkan dalam tempoh PPN.

“Kementerian Perpaduan Negara akan memaklumkan kepada persatuan agama Hindu dan persatuan agama Kristian berhubung SOP yang perlu dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Hishammuddin memaklumkan, pengoperasian aktiviti lelongan awam bagi barangan sandaran di bawah sektor pajak gadai yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibenarkan berdasarkan syarat–syarat tertentu.

Syarat-syarat tersebut, katanya, adalah pekerja dan pembida telah dilengkap vaksin; hanya melibatkan 54 pelelong yang telah dikenal pasti di seluruh negara serta terhad kepada 30 minit persesi pada 1 dan 7 haribulan setiap bulan.

Antara syarat lain, menurut beliau adalah kapasiti pekerja adalah berdasarkan Fasa iaitu 60 peratus kapasiti pekerja dan 50 peratus pembida bagi Fasa 2; 80 peratus kapasiti pekerja dan 80 peratus pembida (Fasa 3) dan 100 peratus kapasiti pekerja dan pembida (Fasa 4).

“Sektor tembakau dan rantaiannya dibenarkan untuk beroperasi di Fasa 2 PPN dan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Johor dan Pahang akan beralih ke fasa berikutnya berkuat kuasa Jumaat ini.

Katanya, Johor akan beralih daripada Fasa 2 ke Fasa 3 manakala Pahang daripada Fasa 3 ke Fasa 4. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI