MOTOSIKAL elektrik Sport Electric Vehicle 01 (BL-SEV01) yang dibangunkan oleh Universiti Budi Luhur, Jakarta, Indonesia berjaya dalam ujian jarak jauh.
Ujian itu menempuh perjalanan dari Jakarta ke Mandalika yang terletak di Nusa Tenggara Barat sejauh, 1,337 kilometer (km).
Ketua Pusat Kajian Kenderaan Bermotor Elektrik di Universti Budi Luhur, Sujono berkata, kejayaan ujian itu tanda konsistensi universiti dalam mewujudkan kenderaan elektrik yang mesra alam pada masa hadapan.
“Tunggangan dari Jakarta ke Mandalika adalah proses praktikal bagi pensyarah dan pelajar khususnya di Fakulti Kejuruteraan Elektrik.
“Ujian jarak jauh ini sangat diperlukan untuk kita mengetahui jangka hayat dan prestasi bateri untuk motosikal elektrik ini,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sepanjang perjalanan, motosikal itu diuji di jalan yang mempunyai pelbagai struktur seperti jalan rata, jalan rosak dan juga laluan di kawasan gunung.
Selain itu, selama perjalanan, pasukan penguji membawa tiga set bateri dan setiap bateri mampu menempuh jarak antara 100 hingga 140 km untuk satu perjalanan.
“Secara purata, jarak ditempuh untuk satu hari 300 km dan perjalanan hanya dilakukan pada siang hari. Ini kerana pada waktu malam bateri akan dicas semula,” terang Sujono.