MARANG – Perbuatan sekumpulan lelaki disyaki melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak sejak dua bulan terbongkar selepas pihak berkuasa merampas 3,700 liter bekalan itu di sebuah premis di Binjai Rendah, Bukit Payung di sini hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, minyak masak tersebut ditemui di dalam dua buah lori yang berada di premis berkenaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, sebanyak 34 tong besar minyak masak ditemui di dalam lori manakala 151 botol lagi ditemui dalam premis dengan rampasan keseluruhan RM80,400.
“Lima lelaki tempatan termasuk seorang dipercayai penyelia berusia 20 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati mereka melakukan kegiatan pemindahan minyak masak bersubsidi dari paket satu kilogram (kg) ke dalam botol industri 20 kg tanpa kebenaran,” katanya di sini hari ini.
Saharuddin memberitahu, siasatan mendapati minyak masak itu dibeli pada harga RM2.48 seliter sebelum dijual kepada peniaga pada harga RM2.80 seliter.
Pemeriksaan menjumpai satu lubang besar yang disyaki menjadi lokasi melupuskan bahan bukti seperti plastik minyak dan kotak dengan cara membakarnya di bahagian belakang premis.
“Kita tidak menolak kemungkinan kumpulan ini juga menjadikan daerah lain sebagai pasaran bagi mengaut untung memasarkan semula barang kawalan itu,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929