fbpx

Jurnal seni budaya perkasa warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SENI budaya dan pakaian tradisional menjadi salah satu bidang penyelidikan yang dijalankan oleh JKKN.

PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) komited dalam memperkasa dan memperkayakan rujukan berkaitan warisan tidak ketara menerusi penghasilan jurnal berkaitan seni budaya tempatan.

Inisiatif tersebut bertitik tolak daripada penganjuran Bengkel Penulisan Jurnal Seni Budaya 2020 yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sehingga kini, sebanyak 16 jurnal telah dihasilkan dan akan diterbitkan secara digital melalui pelantar digital NeuCanvas JKKN, dengan sasaran penerbitan sebanyak 17 artikel untuk tahun 2021.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd. Yusop berkata, sejajar dengan Pelan Strategik JKKN 2021-2025, pihaknya berhasrat mengekalkan momentum penghasilan jurnal secara berterusan bagi tempoh lima tahun sebagai usaha mendapatkan sitasi jurnal tempatan daripada Pusat Sitasi Malaysia (PSM) untuk diindekskan dalam pangkalan data MyCite.

“Perancangan jangka panjang pula, JKKN menyasarkan untuk menghasilkan jurnal penyelidikan seni budaya yang menepati standard penulisan jurnal antarabangsa dan diperakui sebaris dengan standard pangkalan data penulisan ilmiah terkenal seperti SCOPUS, WOS, PubMed, CiteSeer dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan.

ADAT Berbayoh dilaksanakan dalam pengubatan tradisional Etnik Melanau.

Meskipun masih baharu, usaha JKKN telah mendapat perhatian pelbagai pihak, malalui artikel Pantang Larang Kaum Lelaki Melanau, Sarawak dan Kesan Ketidakpatuhan oleh Mohamad Husri Morni yang telah diterbitkan dalam BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences. Vol. 4 No. (2) 2021.

Artikel Susur Rawai Dessit Duano dalam Seni Dangkong oleh Rahmat Damiri dan Adat Berbayoh dalam Pengubatan Tradisional Etnik Melanau oleh Zurairi Hanip masing-masing telah dihantar untuk penerbitan dalam Jurnal Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris serta Jurnal Semarak Bahasa, Institut Pendidikan Guru Kuala Lumpur.

JKKN bakal menerbitkan 13 lagi artikel jurnal hasil cetusan idea dan garapan penulisan pegawai-pegawai JKKN sendiri dengan bantuan Prof. Madya.

Dr. Norazlina Mohd. Kiram, Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani dan Dr. Jamayah binti Zakaria.

Selain itu, bersama-sama tenaga pembimbing dari Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, JKKN turut berjaya menyediakan satu garis panduan penulisan artikel jurnal penyelidikan seni budaya yang secara asasnya menggariskan panduan penulisan artikel jurnal.

Garis panduan tersebut akan dimantapkan dari semasa ke semasa sejajar dengan keperluan penulisan jurnal jabatan, selain boleh dijadikan rujukan kepada penggiat dan penulis seni budaya yang berhasrat turut menyumbang dalam penulisan seni budaya.

Semua artikel jurnal yang dihasilkan akan dikompilasi dalam satu koleksi jurnal yang boleh dicapai melalui pelantar digital JKKN. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI