PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan tawaran syarikat pemberi wang yang menawarkan Skim Pinjaman KWSP.
KPKT menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya mengesan iklan-iklan yang menawarkan skim pinjaman berkenaan khususnya di laman web dan laman sosial akhir-akhir ini.
Menurutnya, iklan-iklan itu menyasarkan pemilik akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan menggunakan nama Syarikat Pemberi Pinjam Wang (PPW) berlesen atau Kredit Komuniti yang berdaftar di bawah KPKT.
“Iklan-iklan tersebut menawarkan pinjaman dengan kadar faedah antara lima hingga tujuh peratus sebulan.
“Kadar faedah ditawarkan itu jauh melebihi kadar faedah yang ditetapkan di dalam Akta Pemberi Pinjam Wang (1951) iaitu maksimum 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun bagi pinjaman individu,” katanya hari ini.
Katanya, KPKT memandang serius akan penularan maklumat dan iklan ini yang dikhuatiri bukan sahaja menjejaskan imej dan kredibiliti sektor Kredit Komuniti bahkan akan turut memberi implikasi negatif kepada orang ramai.
Pada masa sama, KPKT menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan penawaran skim pinjaman yang seringkali mengaitkan Syarikat Kredit Komuniti yang berlesen di bawah KPKT.
Katanya, urusan dengan pihak Kredit Komuniti hanya boleh berlaku di dalam premis perniagaan yang berdaftar dan sah sahaja. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929