KAJANG – Enam lelaki yang ditahan berhubung kes penemuan mayat wanita yang disyaki dikelar sampai mati di sebuah kedai makan di Bandar Rinching, Semenyih akan disambung reman selama enam hari.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kesemua yang ditahan membabitkan seorang warga tempatan, tiga warga Myanmar dan dua warga Pakistan yang semuanya berusia 30 hingga 50 tahun.
“Kesemua suspek ini akan disambung reman selama enam hari iaitu sehingga 11 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online pada 28 September lalu melaporkan, bau busuk di sebuah premis kedai makan di Bandar Rinching membawa kepada penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibunuh.
Pemeriksaan di lokasi telah menemui mayat seorang wanita warga Indonesia berusia awal 50-an pada pukul 7.33 pagi dalam keadaan tidak berpakaian dan diselimuti kain.
Menurut saksi kejadian, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada hari Sabtu lalu ketika dia sedang berniaga di kedai makan itu.
Sementara pada Jumaat lalu, Mohd. Zaid memberitahu, enam individu telah ditahan berhubung kes penemuan mayat wanita berkenaan.
“Beberapa barang kes turut dirampas antaranya telefon bimbit dan dokumen peribadi milik si mati, barang kemas, wang RM2,400 dan pakaian suspek yang mempunyai kesan darah.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kelaran objek tajam pada leher, belakang tengkuk dan pipi si mati,” katanya.
Menurutnya, mangsa dipercayai dibunuh akibat cemburu dan pihak polis kini sedang berusaha mengesan waris si mati memandangkan mayatnya masih belum dituntut. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929