PETALING JAYA – Bersempena transisi Johor kepada fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara, Sunway mengumumkan pelancaran Sunway Hotel Big Box bernilai RM160 juta di Sunway City Iskandar Puteri secara berperingkat bermula 1 Oktober.
Hotel dengan 284 bilik yang terletak dalam kawasan seluas 323 hektar serta dikelilingi kawasan hutan paya bakau itu memiliki kemudahan hospitaliti, runcit, pendidikan dan juga elemen kesihatan.
Projek tersebut mudah diakses dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour dan Coastal Highway Southern Link dari Singapura, yang terletak dalam lingkungan lima kilometer.
Sunway menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan berkata, pasangan, keluarga dan kumpulan korporat boleh mencipta aktiviti luar mereka dengan menggunakan laluan berbasikal, laluan mendaki dan kegiatan lain melibatkan alam semula jadi.
“Aktiviti lasak termasuk memandu ATV, go-kart, permainan paint ball serta papan luncur salji boleh dilakukan di X PARK, yang boleh diakses hanya dengan berjalan kaki dari hotel.
“Tetamu boleh memilih lima kategori penginapan iaitu Deluxe Room, Deluxe Plus Room, Family Suite, Executive Suite dan Premier Suite, semuanya menggunakan reka bentuk kontemporari serta dilengkapi kemudahan internet tanpa wayar dan televisyen protokol internet,” katanya.
Bagi tetamu korporat dan perancang acara pula, hotel berkenaan memiliki tiga bilik mesyuarat fleksibel yang mampu memuatkan antara 20 dan 300 peserta, dengan dinding video LED seluas tiga meter serta panel pintar mudah alih berukuran 86 inci (218 sentimeter) bagi tujuan pembentangan.
Turut terletak berdekatan ialah Sunway Big Box Retail Park, iaitu pusat beli-belah terbuka yang meliputi ruang seluas 46,000 meter persegi dan menawarkan pelbagai premis runcit, restoran dan hiburan.