RANTAU PANJANG – Taktik seorang lelaki yang menjadikan ruang bawah lantai bilik di sebuah rumahnya untuk menyembunyikan 93,200 batang rokok seludup gagal apabila perbuatannya itu dikesan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di Kampung Gong Datok dekat Pasir Puteh semalam.
PGA menjalankan serbuan di rumah tersebut pada pukul 6 pagi selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan rokok menerusi Op Kontraban.
Pegawai Pemerintah Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sewaktu serbuan dijalankan, PGA terus menahan suspek yang berusia 57 tahun sebelum membuat pemeriksaan di dalam bilik utama rumah tersebut.
“Kita telah menjumpai satu ruang di bawah lantai bilik tersebut yang dijadikan tempat untuk menyembunyikan kotak-kotak mengandungi sebanyak 93,200 batang rokok.
“Selain itu, kita turut menjumpai wang tunai sebanyak RM58,108 di atas sebuah almari di bilik sama yang dipercayai hasil jualan daripada rokok seludup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujarnya, nilai keseluruhan rampasan rokok seludup termasuk wang tunai itu dianggarkan berjumlah RM128,008.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929