LIVERPOOL – Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menyuarakan rasa puas hati biarpun The Reds sekadar mencatat keputusan seri 2-2 ketika menentang Manchester City pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield kelmarin.
Selepas aksi separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, kedua-dua pasukan menampilkan aksi lebih baik pada separuh masa kedua sehingga menyaksikan empat gol dihasilkan.
Liverpool yang beraksi sebagai tuan rumah berjaya meledak gol menerusi Sadio Mane serta jaringan solo yang menakjubkan daripada Mohamed Salah, manakala gol pasukan pelawat dijaringkan Phil Foden dan Kevin de Bruyne.
“Saya mahu berlaku adil, jadi ini adalah keputusan terbaik untuk kedua-dua pasukan. Mereka mencipta banyak peluang untuk jaringkan gol selain berjaya menguasai sebahagian besar permainan.
“Kami berdepan kesukaran apabila mereka memegang bola kerana sukar untuk merampasnya. Saya akui kami agak bergelut pada separuh masa pertama, namun selepas waktu rehat, permainan kami bertambah baik,” kata Salah.
Sementara itu, dia juga menganggap jaringan menakjubkan yang dilakukannya pada perlawanan tersebut akan lebih bermakna sekiranya mereka mendapatkan tiga mata dan menerajui saingan Liga Perdana.
“Gol tersebut mungkin lebih istimewa sekiranya kami mampu memenangi perlawanan pada hari ini (kelmarin). Bagaimanapun, saya tetap gembira kerana ia adalah salah satu gol paling menarik pernah dijaringkan,” ujarnya. – AGENSI