Beberapa hari lalu, penulis membulat hati singgah ke salah satu pusat membeli-belah di Shah Alam untuk membeli pakaian anak kerana apa yang ada di rumah semuanya hampir jadi ‘barut nangka’.
Penulis sudah lupa bila kali terakhir menjejakkan kaki ke situ, mungkin ketika membeli pakaian anak-anak untuk sambut Aidilfitri lalu.
Niat di hati mahu capai sebanyak mungkin baju basahan mereka yang sesuai dan terus balik.
Selepas hampir enam bulan tidak ke sekolah anak-anak cepat betul naik badan hampir kesemua pakaian duduk rumah sudah jadi ketat dan senteng.
Ketika beratur membayar baju tersebut penulis ada terlibat beberapa orang ibu-ibu yang membawa anak kecil atau bayi dalam kereta sorong.
Sudah tentulah mereka tidak memakai pelitup muka sebab mereka masih bayi. Penulis tiba-tiba jadi sakit hati kerana ibu-ibu itu tergamak mempertaruhkan kesihatan anak-anak ke tempat terbuka sebegitu.
Walau apa pun alasan yang ibu bapa itu akan berikan, penulis tetap tidak setuju perbuatan membawa anak ke tempat terbuka begini termasuk dine-in.
Mungkin mereka tidak tahu bahawa sehingga September lalu seramai 67 kematian melibatkan kanak-kanak akibat Covid-19 berbanding hanya enam kes tahun lalu.
Ada juga kes kanak-kanak terkena long Covid sehingga di masukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan dikenakan mesin bantuan pernafasan.
Menurut seorang pakar bius di sebuah hospital kerajaan, pada tahun lepas ketika Covid-19 melanda dunia, wabak itu tidak menyerang kanak-kanak dengan teruk.
Sekarang virus Covid-19 bermutasi dengan pelbagai varian telah berjaya menipu imuniti kanak-kanak seolah-olah pada awalnya ada penyakit lain.
Kanak-kanak yang dijangkiti itu pada awalnya ada simptom demam dan sakit perut yang di sangka apendiks namun setelah disahkan Covid-19, ia boleh menyebabkan kegagalan organ sehingga dimasukkan ke ICU.
Jangan lupa ya wahai ibu bapa, anak kecil kita tidak disuntik vaksin Covid-19, perlindungan terakhir mereka di usia bawah empat tahun adalah vaksin pneumococcal sebanyak tiga dos dan dos penggalak (pilihan) bagi melindungi bakteria yang menyebabkan radang pada tekak dan telinga termasuk paru-paru dan otak.
Jangan sebab kita galak hendak dine-in dan membeli-belah kita bawa anak-anak kita sekali, sanggupkah lihat anak kita terkena long Covid nanti.
Kata doktor itu, long Covid yang berlaku kepada kanak-kanak seperti sesak nafas, ekzema, sakit kepala dan kadang-kala jadi pelupa.
Minta jauhlah Covid-19 kena kepada anak kita. Tidak sanggup lihat mereka ke sekolah dalam keadaan begitu sesak nafas, sakit kepala atau jadi pelupa.
Ibu bapa pula selepas balik kerja atau keluar sekejap membeli barang tolonglah terus mandi jangan berborak atau terus peluk anak.
Anak jadi mangsa Covid-19 sebab kita ia sangat menyakitkan hati.