fbpx

PM tak tolak kemungkinan PRN Melaka berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (dua kiri) dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bergambar ketika hadir pada Majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di perkarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlaku di Melaka ekoran kemelut politik yang melanda negeri tersebut.

Bagaimanapun, ujar beliau, masih terlalu awal untuk mengatakan ia pasti berlaku kerana apa jua perkembangan di sana bergantung kepada keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Menurutnya, jika keputusan dibuat membuka laluan bagi PRN dijalankan, beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan kawalan dapat dilaksanakan.

“Saya dihujani pelbagai pandangan di media sosial, ramai yang menyatakan kebimbangan mereka sekiranya PRN seperti di Sabah dahulu dilaksanakan.

“Dulu kes Covid-19 sudah turun tapi disebabkan PRN, ia meningkat semula dan ramai yang bimbang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Berita berkaitan: Kerajaan Melaka tumbang, 4 ADUN umum hilang kepercayaan

Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tumbang semalam selepas beliau kehilangan sokongan majoriti selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan penarikan sokongan mereka terhadap kerajaan negeri.

Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kemelut politik di Melaka itu diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk diselesaikan, yang difahamkan telahpun mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Beliau turut berharap agar keadaan politik negara kekal stabil sebagaimana yang dikecapi ketika ini terutamanya selepas kerajaan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pembangkang. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI