KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor adalah untuk menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ (scapegoat), oleh pihak tertentu.
Ketika membaca ucapan pembukaan pembelaan, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader berkata pendakwaan ke atas Rosmah adalah suatu pendakwaan terpilih (selective prosecution), dan mala fide (berniat jahat).
“Saksi pendakwaan ke-21 Datuk Rizal Mansor (SP21) adalah individu yang bertanggungjawab dan merupakan dalang di dalam kes ini yang telah meminta (soliciting) dan menerima (receiving) wang, seperti yang dinyatakan di dalam pertuduhan-pertuduhan tersebut.
“Sekiranya Rizal Mansor tidak bekerjasama dengan pihak pendakwaan untuk menuduh tertuduh dengan keterangan-keterangan palsu, maka pihak pendakwaan akan meneruskan pendakwaan ke atas SP21 (Rizal Mansor) dengan pertuduhan-pertuduhan dan hal ini menunjukkan pihak pendakwaan mempunyai niat jahat biarpun dakwaan terhadap tertuduhadalah tidak berasas,” kata peguam itu.
Dalam ucapan pembukaan itu peguam itu turut berkata, Rosmah juga tidak pernah meminta bagi dirinya melalui Rizal Mansor satu suapan wang sejumlah RM187.5 bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Tertuduh juga tidak pernah menerima RM6.5 juta daripada saksi pendakwaan ke-17 iaitu Saidi
Abang Samsudin bagi membantu Jepak Holdings Sdn. Bhd. untuk mendapatkan projek solar tersebut secara rundingan terus.
“Tertuduh tidak pernah mengenali secara peribadi Saidi dan saksi pendakwaan ke-16 iaitu Rayyan Radzwill Abdullah dan pertemuan di antara tertuduh dengan kedua-dua saksi pendakwaan itu tidak pernah ada dalam pengetahuan atau rancangan tertuduh sebaliknya diatur oleh saksi Rizal Mansor yang merupakan dalang sebenar kes ini,” kata peguam itu.
Dalam pada itu, peguam itu turut menyatakan bahawa, sebelum pendakwaan bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, tidak wujud sebarang laporan daripada mana-mana pihak, khususnya Saidi dan Rayyan Radzwill kepada pihak SPRM bahawa tertuduh telah, secara nyata, menerima dan atau meminta rasuah, atas apa-apa wang, bagi maksud pertuduhan-pertuduhan tersebut.
Semasa prosiding, ketika ucapan pembukaan pembelaan dibaca, Rosmah berada di dalam kandang saksi bagi memberi keterangan secada bersumpah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung lagi esok. – K!ONLINE