SHAH ALAM – Era kepimpimpinan mahasiswa masa kini disifatkan sebagai satu era kepimpinan yang cukup berbeza berbanding sebelum ini susulan berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, era kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam norma baharu ini menuntut kepada daya kepimpinan mahasiswa yang luar biasa.
“Ini adalah kerana paksi kepimpinan mahasiswa bukan lagi berdasarkan kepada prinsip-prinsip kepimpinan konvensional tetapi adalah berdasarkan kepada prinsip kepimpinan digitalisasi.
“Maknanya, kegagalan pemimpin mahasiswa atau MPP dalam mengurus dan menguasai kepimpinan bersifat ‘digital based’ akan menyebabkan mereka boleh hilang daya kecekapan yang diperlukan dalam detik sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen MPP Universiti Teknologi MARA (UiTM) Se–Malaysia 2021 yang bertemakan Melakar Kepimpinan Berprestij secara maya semalam.
Penganjuran konvonsyen berkenaan adalah bertujuan untuk menerapkan nilai kepimpinan era baharu dan menyuarakan pandangan melalui perbahasan dan perbincangan bersama yang melibatkan 244 ahli MPP seluruh UiTM bagi mencari resolusi memenuhi keperluan mahasiswa.
Ahmad Masrizal berkata, penekanan harus diberikan kepada kejituan pelajar UiTM dalam konteks mendukung aspirasi moto UiTM iaitu Usaha, Taqwa dan Mulia.
“UiTM bukanlah sekadar institusi pengajian, malah ia juga lambang perjuangan bumiputera yang meletakkan pendidikan sebagai teras utama kemajuan negara dan untuk itu UiTM perlu di ‘rejuvenate’ untuk kembali ke roh asalnya.
“Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang bukanlah alasan untuk tidak melunaskan tanggungjawab yang diberikan oleh pelajar sebagai wakil mereka sebaliknya hubungan antara pelajar, MPP, Universiti dan masyarakat perlu berlangsung dalam suasana normal baharu yang terlingkup dalam parameter online,” ujar beliau.
Tambah beliau, keupayaan MPP UiTM seluruh Malaysia yang cakna akan untung nasib pelajar turut dikagumi menerusi kepedulian yang tinggi terhadap permasalahan yang dihadapi dan ditanggung oleh mahasiswa dalam hal ‘Open Distance Learning’ (ODL).
“MPP dilihat berjaya memainkan peranan sebagai pihak kedua antara pelajar dan Universiti malah disarankan agar peka dengan kepimpinan di era digitalisasi ini dan mengambil langkah perlu bagi meningkatkan kemahiran kendiri dalam bidang digitalisasi dan seumpamanya.
“Untuk membolehkan kita kekal relaven kita perlu berani berhadapan dengan era kepimpinan digital secara tuntas,” katanya.
Konvensyen secara maya yang bermula semalam hingga 7 Oktober itu turut menampilkan panel-panel antarabangsa dari Rusia, United Kingdom, Belanda dan Indonesia bagi sesi forum ‘Global Leadership: Mapping Students Leadership in The Age of Digital Era’. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929