PETALING JAYA – Nama selebriti terkenal Neelofa sekali lagi menjadi bualan netizen dalam media sosial hari ini apabila memuat naik sebuah video menggunakan aplikasi tekaan wajah bayi hasil gabungan rupa paras ibu bapa.
Dalam video tersebut, aplikasi tersebut menunjukkan bayangan dua wajah iaitu bayangan anak lelaki dan perempuan hasil gabungan wajahnya dengan suami tercinta, Haris Ismail.
Pada awalnya, ramai yang menyangka video tersebut dihasilkan oleh kumpulan peminat fanatik bekas pengacara program Next to Neelofa itu, namun sebaliknya yang berlaku apabila rata-rata memberitahu kandungan tersebut dimuat naik sendiri oleh Neelofa.
Rata-rata peminat melahirkan rasa terkejut kerana tidak menyangka selebriti berniqab itu memuat naik video tersebut serta memiliki akaun TikTok sendiri.
“Aku ingat ini akaun peminat tetapi rupa-rupanya Neelofa sendiri yang muat naik,” komen seorang netizen teruja.
Tidak cukup dengan itu, ramai yang menganggap video tersebut merupakan bayangan (hint) Neelofa untuk membuat hebahan awal kepada umum bahawa dia sedang hamil anak pertama.
“Saya tahu ini hint mengenai awak akan menimang cahaya mata tidak lama lagi,” tulis seorang pengguna TikTok.
“Tahniah Neelofa. Bakal ibu-ibu memang suka buat benda macam ini,” gurau seorang lagi netizen.
Sehingga kini, video yang dimuat naik tiga hari lalu itu telah mencapai sejuta tontonan dan meraih lebih 87,000 tanda suka.
Baru-baru ini, pelakon filem Pilot Cafe itu mencuri perhatian ramai apabila kerap memegang perutnya ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban, Seremban, Negeri Sembilan pada 24 September.
Sejak Julai lalu, khabar angin mengenai dia sedang hamil anak pertama bertiup kencang selepas sering kelihatan penat dan memegang perutnya dalam beberapa sesi siaran langsung dalam Instagram.
Bagaimanapun sehingga hari ini, baik Neelofa mahupun Haris, masing-masing masih mengunci mulut mengenai dakwaan tersebut. – K! ONLINE
Untuk rekod, pasangan berkenaan selamat mendirikan rumah tangga pada 27 Mac lalu di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. – K! ONLINE