DALAM sesebuah perjalanan karier mahupun kehidupan peribadi, adakalanya setiap daripada kita akan menemui satu titik peralihan, mahukan sesuatu yang lebih mencabar daripada situasi sedia ada.
Bukan tidak bersyukur dengan apa yang dimiliki, namun perasaan untuk melakukan sesuatu di luar norma kian membuak-buak. Itulah yang dilalui aktor berbakat besar Hafidz Roshdi.
Teruja jadi lelaki psiko
Melahirkan rasa teruja apabila berpeluang memegang watak sebagai lelaki psiko dalam drama terbaharu, Perisik Cinta Tak Diundang (PCTD), Hafidz bersyukur kerana akhirnya impiannya tercapai.
“Sebenarnya saya sudah lama menanti untuk mendapat watak psiko dan antagonis seperti ini.
“Sama seperti pelakon lain, saya juga mengimpikan untuk memberi satu kelainan untuk peminat. Jadi, inilah peluang untuk saya mencuba sesuatu yang baharu dan memberi kelainan dalam lakonan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Sering diberikan watak lelaki romantik, aktor berusia 26 tahun itu menegaskan dia tidak pernah bosan dengan karakter sebegitu tetapi hanya inginkan cabaran dalam laluan kerjayanya.
Meskipun kegembiraannya melonjak-lonjak, itu bukan bermakna dia tidak bersyukur dengan apa yang dimiliki sebelum ini.
“Sebelum ini selalu sangat menjayakan watak ‘pak sanggup’ dan lelaki yang baik-baik.
“Bukan bosan atau tidak bersyukur dengan semua itu sebab saya pun mula dikenali dengan watak sebegitu.
“Cuma sebagai anak seni, pastinya saya juga memiliki impian untuk menyerlahkan sisi berlainan yang mampu mencabar emosi sebagai seorang pelakon,” ujarnya yang pertama kali membawa watak lelaki panas baran dalam drama PCTD menerusi watak Firas.
Percayakan rezeki
Bercerita soal kehadiran ramai penyanyi yang bertukar kerjaya sebagai pelakon, anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu memberitahu tidak pernah terbit sekalipun rasa cemburu terhadap rezeki orang lain.
Baginya, kehadiran bakat-bakat baru terutama dalam kalangan penyanyi menjadi pelakon merupakan satu bentuk rezeki yang dihadirkan oleh Tuhan buat mereka.
“Sejak awal saya mula terlibat dalam dunia lakonan, memang begini polanya iaitu ramai penyanyi ditawarkan menjadi pelakon.
“Biarpun begitu, saya tiada rasa tergugat kerana sentiasa yakin bahawa rezeki akan sentiasa hadir,” ujar aktor yang pernah popular menerusi drama Tundukkan Playboy Itu pada tahun 2016 itu.
Menyingkirkan jauh kesumat di hati, Hafidz memberitahu dia bukanlah manusia yang layak untuk mempersoalkan dan menidakkan rezeki orang lain, terutama terhadap golongan penyanyi yang kini bergelar pelakon.
“Pada awal perjalanan karier, saya sentiasa mengamalkan sebuah konsep rezeki iaitu dengan menyifatkan bidang lakonan ini sebagai satu bentuk rezeki yang Tuhan berikan kepada saya.
“Jadi, jika mana-mana penyanyi diberikan kepercayaan menjadi pelakon, itu rezeki mereka. Siapa saya untuk menidakkan rezeki mereka.
“Alhamdulillah, sehingga sekarang, rezeki saya masih ada. Kalau tidak watak hero, saya diberikan watak hero kedua,” tutur bapa kepada dua orang cahaya mata itu.
Bercakap peralihannya menjayakan watak hero kedua di samping penyanyi Andi Bernadee menerusi PCTD, Hafidz menjelaskan peranan tersebut tetap memberi tekanan besar kepadanya.
“Watak hero akan memberikan satu tekanan, saya sudah melalui sebelum ini.
“Apabila menjadi hero kedua pula, saya dapat teroka banyak karakter dan boleh bermain 1,001 emosi. Inilah kelebihan apabila tidak memegang watak utama,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.