fbpx

Antivaksin cemarkan aktiviti rentas negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

DALAM minggu ini, ramai menjangkakan kira-kira 32.7 juta rakyat Malaysia akan menyambut ‘kemerdekaan’ sekali lagi, merdeka yang dimaksudkan itu ialah kebebasan untuk rakyat bergerak merentas negeri tanpa sebarang sekatan.

Jika janji disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikotakan, laungan merdeka akan terus dilaungkan rakyat. Kalau bukan esok, muka lusa peratusan populasi dewasa akan mencapai angka 90 peratus.

Pastinya,rakyat sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung dan berjumpa kedua ibu bapa, terperangkap selama dua tahun bukan situasi mudah, ia kerinduan yang berat tatkala ini.

Bagaimanapun, kebebasan rentas negeri diberikan kepada rakyat kelak mungkin menjadi titik hitam baharu kepada situasi Covid-19 di Malaysia berikutan bakal dicemari golongan antivaksin.

Dalam konteks ini, kumpulan antivaksin itu berisiko menjadi pembawa virus memandangkan mereka tidak dilindungi seterusnya memberi kesan buruk kepada orang lain lebih-lebih lagi apabila mereka juga dibenarkan rentas negeri.

Menurut seorang pengamal perubatan, Dr. Hana Hadzrami, kebenaran rentas negeri kelak akan mengundang masalah besar apabila golongan antivaksin akan pulang ke kampung.

“Dalam situasi ini, ia akan jadi masalah besar buat golongan antivaksin apabila mereka akan sebarkan Covid-19 dan menjangkiti ibu bapa mereka yang juga antivaksin.

“Maka ramailah nanti orang tua tidak divaksin yang sebelum ini dilindungi oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan kategori 5,” katanya.

Jelasnya, warga emas yang tidak divaksin itu memerlukan masa kira-kira sebulan hingga dua bulan untuk mendapatkan rawatan di ICU sekiranya positif Covid-19.

Susulan itu, kerajaan perlu bertindak tegas dengan mewujudkan garis panduan khusus kepada orang ramai sebelum membenarkan mereka merentas negeri demi memastikan penularan wabak dapat dikawal.

Selain itu, beberapa aktiviti sosial seperti keraian dan majlis kenduri yang berisiko menjadi penularan Covid-19 juga perlu dilarang apabila kebenaran itu diumumkan nanti.

Menurut Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (IMedik), Prof. Dr. Azizi Ayob, aktiviti sosial itu boleh menyebabkan penularan wabak berlaku dengan cepat terutama membabitkan varian Delta.

“Kerajaan perlu melihat adakah aktiviti sosial perlu dibuka seluas-luasnya. Saya tidak bersetuju aktiviti sosial dibenarkan jika kerajaan membenarkan rentas negeri.

“Aktiviti sosial sebegini hanya akan menyebabkan berlakunya perkumpulan orang beramairamai dan secara tidak langsung menjurus kepada penularan baharu” tegasnya.

Walaupun bersetuju supaya pergerakan rentas negeri dibenarkan, katanya, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dikuatkuasakan, dipantau serta dikawal dengan ketat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI