LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menggesa penyerangnya, Timo Werner agar terus memperbaiki sentuhan penyudah selepas membantu pasukan itu menewaskan Southampton 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, The Blues memperoleh tiga gol menerusi jaringan Trevoh Chalobah, Werner dan Ben Chilwell sementara pasukan pelawat menjaringkan gol menerusi sepakan penalti James Ward-Prowse.
Walaupun gembira dengan aksi yang ditampilkan penyerang Jerman itu, namun Tuchel masih mahu dia memperkemaskan lagi sentuhannya kerana percaya dengan kemampuan Werner.
“Sudah tentu kami semua lega dengan kemenangan hari ini (kelmarin). Setiap kali dia (Werner) jaringkan gol, saya sentiasa ada perasaan jaringan itu akan dibatalkan kerana dia berdepan banyak situasi tersebut sebelum ini.
“Gol kedua yang dijaringkan Werner sangat penting dalam usaha kami untuk catat kemenangan pada perlawanan ini. Saya percaya Werner masih ada ruang untuk memperbaiki corak permainannya,” kata Tuchel.
Pada perlawanan tersebut, bekas jurulatih Borussia Dortmund itu melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama selepas tewas 0-1 kepada Juventus pada saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.
“Saya sentiasa membariskan pemain terbaik yang kami ada dalam kesebelasan utama kerana masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki selepas kalah dua kali berturut-turut sebelum ini,” ujarnya. – AGENSi