fbpx

Rasa takut, halusinasi Fieya Julia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIEYA JULIA

“SEBENARNYA saya tak sangka lagu Halusinasi menjadi pilihan syarikat sebab sebelum ini saya pernah berikan beberapa lagu tetapi semuanya kena reject dan tak terpilih. Mungkin material tak cukup bagus.”

Itu ungkapan Fieya Julia yang mengakui gementar, namun pada masa sama teruja sebaik sahaja syarikat rakaman, Aries Music mengambil keputusan menjadikan lagu ciptaannya untuk penerbitan single baharunya.

Fieya atau nama sebenarnya, Nur Syafiyah Sejali, 22, mengakui keputusan yang dibuat oleh syarikat rakaman agak luar dugaan memandangkan sebelum ini karya yang dihantarnya tidak pernah terpilih.

“Saya ini masih baharu dan tak pernah keluarkan single ciptaan sendiri sepenuhnya. Agak takut juga, manalah tahu pendengar tak boleh terima lirik tulisan saya. Saya masih belajar banyak perkara.

“Semuanya terzahir ikut idea sendiri, ada rasa takut dan teruja. Rasa bersyukur pun ada juga,” kongsi Fieya tentang keterujaannya terhadap penerbitan lagu Halusinasi.

FIEYA mengakui lagu terbaharunya Halusinasi berkisarkan pengalaman sendiri yang jatuh cinta dengan kawan baik.

Kisah benar

Sebelum ini, nama Fieya melonjak naik menerusi lagu Perasaanku, ciptaan Amir Hariz terbitan 2018 berjaya meraih 45 juta tontonan menerusi YouTube, malah lagu tersebut juga diangkat sebagai lagu tema drama Semua Salahku.

Menurut Fieya, lagu Halusinasi yang ditulis pada Ogos 2020 sebenarnya bersandarkan kisah besar yang dirasai sendiri. Liriknya disiapkan dalam tempoh sehari dan dalam jangka masa seminggu, Halusinasi berjaya disiapkan sepenuhnya.

“Masa cipta lagu tu saya tengah alami siuasi itu (halusinasi), saya sedang layan sendu. Inspirasi dapat melodi lagu ini daripada mimpi.Agak pelik tapi memang saya dapat ilham melodi lagu ini daripada mimpi.

“Saya bangun tidur terus rekod melodi tersebut dan ubah-ubah sikit, kemudian jadilah melodi Halusinasi.

“Sebenarnya, lagu ini bercerita tentang diri sendiri juga. Waktu muda, kita sering salah anggap tentang cara orang layan kita. Dalam hati mesti tertanya-tanya, dia suka kat aku ke atau sebaliknya?

“Ada orang boleh jatuh cinta dengan kawan sendiri, padahal kita tahu dia adalah kawan kita sendiri dan kita pula terletak harapan lebih kepada kawan tersebut,” katanya.

Menerusi Halusinasi, Fieya mengakui pernah berkawan dengan seorang lelaki yang selalu ada untuk dirinya.

“Halusinasi mengisahkan persahabatan saya dengan seorang lelaki ini yang selalu ada (untuk saya) tetapi dia selalu juga menghilang.

“Dia akan ada masa saya sedih dan hilang masa saya dah gembira. Dia hanya berada di sisi tatkala saya memerlukan dirinya.

“Sebenarnya lelaki itu nak berada di sisi sebagai sebagai kawan, tetapi saya yang tersalah anggap dan ingatkan dia layan saya sebab suka dan beri perhatian.

“Sebenarnya tak, dia caring sebab dia hargai sebagai kawan dan mahu jadi seperti kawan yang bermakna untuk saya,” cerita Fieya tentang isi hati sebelum terciptanya lagu Halusinasi.

BUAT masa sekarang, belum terlintas dalam fikiran Fieya untuk berniaga atau menghasilkan jenama tudung sendiri.

Jangan cepat berharap

Berdasarkan pengalaman tersebut, Fieya nasihatkan orang lain supaya jangan cepat menaruh harapan kepada orang yang berbuat baik dengan kita.

Adakalanya, perlakuan tersebut bukan disebabkan cinta, sebaliknya sekadar menghargai kita sebagai kawan.

Jelas Fieya, rakaman lagu Halusinasi dilakukan di studio Wan Saleh, komposer yang mencipta lagu Penantian untuk single terdahulunya.

Rakaman lagu tersebut tidak sampai lima jam kerana sebelum memasuki studio rakaman, Fieya terlebih dahulu membuat latihan.

“Masa rakaman ada juga emosi yang tak sampai tetapi dibantu oleh orang yang buat susunan lagu itu dan abang Wan Saleh juga, senanglah.

“Cara saya nak menjiwai lagu itu, selalunya setiap lagu yang dinyanyikan, saya akan letakkan diri dalam situasi lagu tersebut supaya dapat feel sedih serta gembira dan senang untuk menjiwai lagu itu.

“Halusinasi merupakan single keempat saya yang bergenre balada. Kalau boleh, biarlah orang kenali saya sebagai penyanyi balada. Sekarang ini, ramai yang ingat Fieya penyanyi lagu rock sebab banyak buat cover (lagu saduran) genre begitu,” tuturnya.

Dedah Fieya juga, ramai yang memaklumkan hanya mengenali lagu nyanyiannya berbanding si pelantun di sebalik karya yang didendangkan.

“Orang lebih mengenali saya daripada lagu saduran. Ada juga yang tahu lagu tapi tak tahu penyanyinya.

“Kalau tanya tentang puas hati atau tidak, kalau boleh saya mahu dikenali sebagai penyanyi balada.

“Apabila rasa puas, baru cuba genre lain. Mungkin ramai yang bosan sebab asyik muncul dengan lagu balada tetapi setakat ini ilham memang ke arah balada saja.

“Belum dapat ilham untuk buat lagu catchy, insya-Allah saya akan cuba buat genre lain,” katanya.

LAGU Halusinasi, ciptaan sepenuhnya oleh Fieya kini boleh dilayari menerusi YouTube Aries Music sejak 27 Ogos lalu. Sehingga kini, lagu berkenaan mencecah tontonan lebih 100,000 dalam YouTube.

Tenang berhijab

Bercerita lanjut tentang perubahan imejnya yang kini berhijab, Fieya berkata, sebelum ‘berhijrah’ dia selalu kemurungan, kerap dilanda masalah dan sering bersedih.

Seringkali juga dia berasakan apa yang dibuat semuanya tidak mencukupi.

“Sebelum berhijab, saya selalu kemurungan, ada masalah, tertekan, stres serta boleh sedih secara tiba-tiba.

“Saya rasa segala benda yang diusahakan atau dibuat tak cukup. Sebelum ini saya rasa banyak sangat gangguann seperti stres bekerja.

“Bila free hair banyak perkara perlu dilakukan seperti nak kena dandan rambutlah dan bermacam hal lain,” katanya.

Dedahnya juga, sewaktu belum bertudung, dia kerap diganggu mesej-mesej daripada lelaki tidak dikenali menerusi media sosial.

“Satu kebaikan juga apabila berhijab tak perlu fikir itu semua. saya rasa sebelum ini ramai lelaki gatal yang DM (direct message), mereka ingat penampilan yang tak bertudung itu mesti sporting (senang layan).

“Dah nama orang gatal, kalau kita berhijab atau tak, apabila mereka dah suka memang akan menggatal juga,” ujarnya.

UNTUK melebarkan karier seni, Fieya kini bersedia menyahut cabaran jika ada tawaran berlakon dalam apa juga naskhah drama.

Tambah Fieya, dia gembira dan bersyukur dengan keputusan berhijab memandangkan sebelum ini, dia sangat tidak konsisten dari segi menutup aurat.

“Saya bersyukur sangat kerana mengambil keputusan untuk berhijab.

“Sebelum ini pernah berhijab tetapi on off, sekarang kalau boleh nak kekal kerana selepas berhijab rasa lebih tenang.

“Sebenarnya dah lama ada niat untuk berhijab tetapi takut,” katanya tersenyum.

Setiap kali munculnya selebriti yang berhijab pasti ada yang berpendapat, mereka akan menceburi perniagaan tudung.

Untuk Fieya, belum terlintas dalam fikiranya ke arah perniagaan sebegitu.

“Sebelum saya berhijab, ramai yang DM tawar jadi model untuk produk tudung tetapi saya tidak bersedia lagi.

“Apabila berhijab pun saya tak bersedia lagi nak jadi model mana-mana jenama tudung. Kalau sendiri berniaga mungkin ada perancangan.

“Sekarang ini banyak sangat artis jual tudung. Kalau ada bisnes nanti pun tak akan keluar produk tudung. Sejujurnya saya berhijab bukan sebab nak ada bisnes tetapi nak ubah diri menjadi lebih baik berbanding sebelum ini,” tegas Fieya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI