SEBERANG PERAI – Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) menempatkan pegawai perhubungan sekolah (PPS) di 24 buah sekolah di daerah itu bagi melakukan pemantauan.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ia membabitkan 12 sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan kolej vokasional serta 12 sekolah kebangsaan pendidikan khas yang mula dibuka hari ini.
Menurutnya, penempatan PPS terbabit bagi membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sekurang-kurangnya sebanyak dua kali sebulan.
“Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP yang ditunjukkan di kesemua sekolah.
“Kita dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bukan hanya buat pemantauan dari segi kedatangan pelajar, tetapi turut memantau ketika pelajar pulang dari sekolah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan pematuhan SOP di SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, pihaknya turut membuat pemantauan aliran trafik di kesemua sekolah terbabit bagi memastikan keselamatan pelajar. – K! ONLINE