IPOH- Polis telah merekodkan keterangan seorang wanita yang dikatakan mendakwa kematian dua pelajar di negeri ini adalah disebabkan suntikan vaksin Covid-19.
Keterangan wanita berusia 39 tahun itu ketika suspek hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan kes berkenaan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.
“Selain wanita terbabit, kita juga telah merakam percakapan pegawai kesihatan Ulu Kinta, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai dan pegawai perubatan yang merawat dua pelajar terbabit.
“Malah, ibu bapa pelajar tersebut turut dipanggil untuk dirakam keterangan serta saksi lain yang berada bersama wanita itu ketika dia membuat kenyataan dalam video tular berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Pemantauan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael di sini hari ini.-K! ONLINE