fbpx

Perbicaraan kes Rosmah diteruskan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah

PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor gagal pada saat-saat akhir untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak, selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Sehubungan itu, prosiding perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini akan diteruskan di Mahkamah Tinggi esok dengan mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan termasuk isteri bekas Perdana Menteri.

Perkara itu ditentukan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.

Hakim Kamaludin menolak permohonan Rosmah selepas berpuas hati tiada keadaan istimewa yang mewajarkan pendengarannya ditangguhkan.

Beliau berpendapat, prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi tidak memprejudiskan Rosmah kerana pada masa yang sama, sebarang rayuan berbangkit boleh didengar dan dipercepatkan.

Ketika menyampaikan keputusan itu, panel tersebut terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang menyatakan isu perbicaraan terbatal, bukan keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan dibenarkan.

Hakim itu menjelaskan, keputusan itu termasuk melibatkan permohonan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Ujarnya, prinsip undang-undang bagi melepasi ambang (threshold) yang menentukan sesuatu permohonan itu dibenarkan atau sebaliknya, telah dipatuhi oleh mahkamah terdahulu.

Sebelum itu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Rosmah untuk menangguhkan prosiding atas alasan keseluruhan perbicaraan terbatal yang mewujudkan keadaan istimewa yang mana isu-isu yang dibangkitkan perlu dilupuskan terlebih dahulu.

Peguam-peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader berhujah bagi pihak Rosmah selaku pemohon manakala Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bagi pihak pendakwaan.

Sementara itu, Akberdin memberitahu pihak media, pasukannya memfailkan rayuan keputusan panel itu ke Mahkamah Persekutuan hari ini.

Rosmah, 69, memohon perbicaraan esok ditangguhkan sementara menunggu rayuan beliau terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes itu, dilupuskan.

Rayuan itu berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 September lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Sri Ram mengendalikan kesnya sebagai ketua pendakwaan. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI